top of page

Lebih Banyak Program Di Lubuk Timah

  • muinsapidin
  • Apr 4, 2016
  • 2 min read

SIMPANG PULAI – Pihak pengurusan Pusat Rekreasi Lubuk Timah akan mengadakan lebih banyak program dari semasa ke semasa untuk menarik lebih ramai pelancong ke pusat rekreasi itu.

Sehubungan itu, Pengerusi Lubuk Timah Hot Spring, Datuk Wira Mohd Yusoff Kassim memohon jasa baik Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan untuk menyegerakan beberapa cadangan penambahbaikan prasarana di kawasan itu.

Menurut beliau, ia juga selaras dengan hasrat Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz untuk menjadikannya sebagai pusat pelancongan kelas pertama.

Beliau memberi jaminan bahawa pihaknya akan mengenalkan keadaan semula jadi di kawasan itu kerana ia merupakan antara daya penarik utama pelancong, khususnya dari luar negara.

“Kita juga akan mempastikan keselamatan di sini terjamin dan Alhamdulillah, setakat ini tidak ada apa-apa yang berlaku,” katanya dalam sidang media selepas penyampaian hadiah cabutan bertuah sempena hari terbuka pusat itu pada Ahad malam.

Hari terbuka itu diadakan sempena lawatan kerja Nazri ke pusat rekreasi itu. Hadir sama Pengarah Urusan Lubuk Timah Hot Spring, Fadzil Akhma Mohd Yusof.

Di dalam lawatannya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata, pihaknya akan membantu menaik taraf beberapa prasarana di pusat itu, antaranya jalan masuk sepanjang 900 meter, bekalan elektrik dan menambah bilangan chalet. Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan kementerian lain untuk melaksana kerja menaik taraf pusat pelancongan itu dan ia dijangka siap sebelum Tahun Melawat Perak 2017. Mohamed Nazri berkata beliau juga akan memaklumkan kepada Tourism Perak untuk mempromosi Lubuk Timah Hot Spring sebagai pusat pelancongan yang wajib dikunjungi. "Lokasi pusat rekreasi ini adalah strategik kerana ia melalui jalan menuju Cameron Highlands dan sekiranya pengunjung mahu ke Cameron Higlands, mereka boleh singgah ke Lubuk Timah Hotspring," ujarnya.

Yusoff memberitahu, setakat ini, kira-kira 10,000 orang mengunjungi pusat rekreasi itu dalam sebulan.


Comments


bottom of page