top of page

Lebih 100 Keracunan Makanan Lepas Makan Roti Jala

  • muinsapidin
  • Apr 4, 2016
  • 2 min read

TAPAH – Seramai 43 pelajar asrama Sekolah Menengah Sains Tapah (SESTA) dan seorang guru mengalami keracunan makanan selepas menikmati juadah lewat malam yang disediakan oleh dapur asrama sekolah itu pada malam Sabtu.

Ekoran itu 32 pelajar telah dimasukkan ke Hospital Tapah, seorang telah dimasukkan ke hospital swasta untuk mendapatkan rawatan manakala 11 lagi pelajar termasuk seorang guru dibenarkan berehat di bilik rehat (sick bay) asrama sekolah sejak pagi Ahad.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, kesemua mangsa berusia 13 hingga 50 tahun itu dipercayai mengalami keracunan selepas menikmati hidangan kari ayam bersama roti jala yang disediakan.

Menurut beliau, mangsa dikatakan mula mengalami cirit-birit, muntah serta pening mulai pagi Ahad dan difahamkan hanya 44 daripada 111 pelajar yang menikmati juadah itu menujukkan simptom tersebut.

“Setakat ini pengendali dapur asrama berkenaan telah diarahkan tutup selama dua minggu dan kita telah mengambil 40 sampel terdiri daripada klinikal, hand swab, peralatan dan makanan," katanya pada sidang media selepas melawat dapur dewan makan asrama berkenaan pada Isnin.

Dr Mah berkata, lawatan itu juga mendapati dapur asrama itu mempunyai beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki seperti peti sejuk yang tidak sejuk dan enam daripada peti sejuk yang digunakan untuk menyimpan makanan telah rosak.

“Perkara ini perlu dibaiki untuk kita mengelakkan kejadian sama berulang. Sementara ini caterer makanan dari luar telah diambil bagi menyediakan makanan kepada pelajar asrama sekolah ini,” ujarnya.

Terdahulu beliau melawat mangsa keracunan makanan di Hospital Tapah dengan diiringi Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Juwita Ghazali.

Sementara itu, Dr Juwita berkata, pihaknya telah membuat penilaian semasa ke atas dapur asrama itu pada 21 Mac lalu dan mendapati ia berada pada tahap rating 81 peratus kebersihan.

"Tetapi apbila kita datang semalam, ia berada di tahap rating 60 peratus kebersihan. Sebagai tindakan susulan pegawai perubatan dari KK Tapah akan melawat sekolah dan hospital secara harian untuk memantau perkembangan pelajar," ujarnya. - Suara Perak


Comments


bottom of page