top of page

Dr. Zambry Kecewa Peniaga Kenakan Harga Keterlaluan

  • muinsapidin
  • Apr 4, 2016
  • 1 min read

IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir kecewa dengan tindakan segelintir peniaga makanan laut di Pulau Pangkor yang masih mengenakan harga makanan laut yang tidak munasabah sehingga boleh menjejaskan imej pulau tersebut sebagai antara destinasi pelancongan terkemuka.

Dr Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, beliau sudah beberapa kali mengingatkan peniaga gerai termasuk di sekitar Teluk Nipah supaya sentiasa bertimbang rasa dengan mengenakan harga yang berpatutan.

"Jangan memikirkan kesan jangka pendek. Jadikan ini sebagai pengajaran. Usah terlalu menuding jari kepada pihak lain, belajarlah mendengar (dan) perbaiki kelemahan,'' katanya dalam laman Instagram beliau.

Akhbar Sinar Harian hari ini menyiarkan laporan mengenai rasa tidak puas hati seorang pembaca yang merungut mengenai harga makanan di Teluk Nipah Pangkor yang disifatkannya sebagai keterlaluan.

Individu yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Zali berkata, harga makanan laut di kawasan berkenaan terlalu mahal sedangkan banyak hasil laut diperolehi daripada nelayan di sekitar pulau tersebut.

"Kalau nak letak harga pun janganlah melampau sampai menekan pelanggan,'' katanya dipetik akhbar itu.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata, kerajaan negeri memandang serius perkara itu kerana jika dibiarkan berterusan, dibimbangi boleh menyebabkan kedatangan pelancong merosot. Menurut beliau, peniaga berkenaan sepatutnya memahami, jika mereka menaikkan harga makanan laut tinggi, lama kelamaan pengunjung tidak mahu datang lagi ke Pulau Pangkor. “Jadi, mereka perlu memainkan peranan untuk memastikan harga makanan laut yang ditawarkan adalah berpatutan,’’ katanya. - Suara Perak


Comments


bottom of page