top of page
muinsapidin

Veteran UMNO Perak Isytihar Sokong PM

IPOH - Veteran UMNO Perak mengisytiharkan sokongan padu dan kesetiaan tidak berbelah bahagi mereka kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden parti untuk terus menerajui pemerintahan negara.

Mereka yang rata-rata terdiri daripada bekas tokoh, pemimpin veteran dan bekas ketua cawangan peringkat akar umbi seluruh Perak juga berikrar akan menentang mana-mana golongan yang cuba menjatuhkan Perdana Menteri dan kerajaan hari ini.

Mereka yang diketuai Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Khalid Nasir menyatakan ikrar sokongan jitu itu dalam Deklarasi Akujanji Sokongan dan Kesetiaan Kepada Najib semasa Himpunan Veteran UMNO Perak 2016 di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini pada Ahad.

Hadir bersama-sama lebih 1,000 veteran UMNO ialah Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak dan Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali.

Khalid dalam ucapannya berkata, perhimpunan itu yang merupakan perhimpunan pertama di Malaysia yang diadakan oleh Veteran UMNO adalah sebagai menyatakan kesetiaan dan sokongan pada anggota veteran parti itu kepada Perdana Menteri dan juga Presiden parti.

Beliau turut kecewa dengan tindakan bekas pemimpin parti yang bertindak bersekongkol dengan parti lawan untuk menjatuhkan Perdana Menteri sedangkan perbuatan seperti itu amat bertentangan dengan prinsip perjuangan UMNO.

Namun begitu, katanya, oleh kerana itu jugalah pegangan kukuh veteran dan ahli UMNO untuk bertahan selama ini menjadikan UMNO terus mantap.

Menurutnya, ketika ini terdapat lebih 80,000 veteran UMNO di negeri Perak yang sentiasa berdiri teguh menyatakan kesetiaan mereka kepada Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO.


11 views0 comments
bottom of page