IPOH - Perak menjadi negeri contoh yang baik dimana ahli- ahli UMNO memberi keutamaan kepada parti walapun sedang menghadapi pelbagai bentuk cabaran dan rintangan ketika ini.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, beliau percaya kekuatan UMNO di negeri ini juga atas sokongan dan dokongan kuat ahli-ahli veteran UMNO.
Katanya, ahli UMNO ketika ini berada dalam keadaan baik dan bersatupadu sehingga jarang didengar masalah di Perak melibatkan krisis-krisis politik bahagian dan juga negeri.
``Ini kerana kami mengutamakan perpaduan dan juga pengukuhan di kalangan ahli-ahli parti dan juga diperingkat pimpinan parti semua peringkat,’’ katanya dalam sidang media sempena Himpunan Veteran UMNO Negeri Perak 2016 di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Rosli Ghazali dan Pengerusi Veteran UMNO Perak, Datuk Khalid Nasir.
Menurut Dr Zambry, kehadiran lebih 1,000 ahli veteran UMNO pada perhimpunan itu membuktikan sokongan mantap mereka kepada perjuangan parti.
Terdahulu dalam ucapannya, beliau mengulangi pendirian UMNO Perak yang memberikan sokongan jitu kepada Perdana Menteri yang juga Presiden parti.
Katanya, ahli UMNO perlu terus menjaga keutuhan parti dengan menunjukkan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada pucuk pimpinan.