top of page
muinsapidin

Sayang Veteran UMNO Terhadap Mahathir Bagaikan Berkecai - Tajol

IPOH - Sayang dan hormat veteran UMNO terhadap mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamed kini bagaikan kaca berkecai, kata Pengerusi Veteran UMNO Malaysia, Tan Sri Tajol Ghazali.

Katanya, veteran UMNO merasa amat terluka dan terhina apabila mantan Presiden UMNO itu sanggup bersekongkol dengan pihak pembangkang yang selama ini menganggap UMNO sebagai musuh politik nombor satu mereka.

Menurutnya, bahkan pihak yang dibonceng oleh Tun Mahathir itu adalah golongan musuh ketat beliau yang tidak pernah lupa memasang jerat untuk menumpaskan beliau (Tun Mahathir).

Menurut Tajol, dalam dunia politik, sekalipun sering disebut bahawa matlamat boleh menghalalkan cara, namun jika negarawan tersohor seperti Tun Mahathir sanggup menggadaikan maruah diri untuk bersekongkol dengan pembangkang, amatlah sukar untuk veteran UMNO menerima hakikatnya dengan hati terbuka.

``Hormat kami terhadap Tun Mahathir kini bagaikan berkecai, dengan rasa sungguh berat hati, saya ungkapkan jua pernyataan ini, sorry Sir, It’s Not That We Love You Less, But We Love UMNO Much More,’’ katanya.

Tajol berkata demikian semasa berucap di Himpunan Veteran UMNO Negeri Perak 2016 di Dewan Serbaguna Kediaman Rasmi Menteri Besar Perak, di sini pada Ahad.

Hadir sama Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak.

Menurut Tajol, kekuatan UMNO yang dapat bertahan pada hari ini adalah kerana pegangan kukuh ahlinya kepada prinsip perjuangan yang berteraskan Bersatu, Bersetia, Berkhidmat yang terpahat sebagai cogankata UMNO.

``Inilah yang menjadi sumber kekuatan dan kelangsungan hayat UMNO dan jika prinsip teras ini dicemari atau dikesampingkan atas apa jua sebab, perbuatan yang sedemikian itu adalah menggamit padah dan musibah buat UMNO dan umat Melayu,’’ ujarnya.

Beliau berkata, ujian yang dihadapi UMNO kali ini amat luar biasa kerana ia bukan diserang oleh musuh-musuh luar UMNO tetapi diserang dari dalam UMNO sendiri.

``Jika selama ini UMNO diuji dan diserang oleh musuh-musuh dari luar, itu perkara biasa kerana lumrahnya kerja musuh-musuh politik kita adalah hendak menumbangkan UMNO.

``Namun jika UMNO diserang dari dalam dan oleh golongan yang pernah kita nobatkan sebagai pemimpin, pastinya ia diketegorikan sebagai luar biasa dan serangan yang luar biasa ini tentunya memerlukan kaedah serta pelan tindakan yang juga luar biasa,’’ kata Tajol.


12 views0 comments
bottom of page