top of page
muinsapidin

Penjaja Perlu Berjiwa Besar - Exco

IPOH - Penjaja tidak harus merasa rendah diri, sebaliknya perlu berjiwa besar jika mahu berjaya dalam perniagaan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, sebenarnya mereka merupakan antara penyumbang ekonomi terbesar di Perak.

Beliau memberi contoh, jika setiap penjaja daripada15,000 ahli persatuan melibatkan urusniaga RM100 sehari, bermakna mereka menyumbangkan RM4.5 juta sebulan atau RM54 juta setahun kepada ekonomi negeri.

"Oleh itu, jangan rasa rendah diri atau kecil kerana anda kecil-kecil cili padi," katanya ketika berucap pada majlis malam program kesihatan, keselamatan, kebersihan, alam sekitar dan mencegah kebakaran di Hotel Kinta Riverfronth di sini pada Sabtu malam.

Program tersebut yang dianjurkan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (Perkasa) Negeri Perak merupakan acara dwi tahunan.

Hadir sama pada majlis itu ialah Yang Dipertua Dewan Perniagaan dan Peridustrian Melayu Negeri Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah, Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Negeri Perak, Saharudin Said dan Presiden Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (Perkasa) Negeri Perak, Suhaimi Derais.

Samsudin berkata, kerajaan negeri dan Persekutuan tidak pernah mengabaikan peniaga dan penjaja kecil di seluruh negara.

Sebagai buktinya, kata beliau, kerajaan mewujudkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) di samping menyediakan pelbagai tabung dan dana untuk membantu mereka.

"Malah, kerajaan turut menyediakan skim insuran untuk menjaga kebajikan penjaja," tambahnya.

Pada majlis itu Samsudin turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM20,000 untuk perbelanjaan aktiviti Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu (Perkasa) Negeri Perak.


18 views0 comments
bottom of page