top of page
muinsapidin

Pelajar Meninggal Dunia Akibat Kencing Tikus

ALOR SETAR - Seorang pelajar lelaki dari Politeknik Kulim berusia 18 tahun meninggal dunia Jumaat lalu disyaki akibat jangkitan leptospirosis atau penyakit kencing tikus.

Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata, remaja itu mengalami simptom demam, sakit kepala dan lenguh badan pada 26 Mac lalu dan telah dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Kulim pada 31 Mac lalu, jam 5.15 pagi.

Gambar Hiasan

"Pelajar terbabit terus dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) berikutan masih demam, sakit perut dan mengalami muntah. Rawatan rapi telah diberikan kepada pesakit namun telah disahkan meninggal dunia pada 1 April lalu, jam 5 petang.

"Doktor telah mengesahkan pelajar terbabit meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru disyaki disebabkan oleh komplikasi daripada jangkitan kencing tikus," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pemeriksaan awal terhadap pelajar terbabit menunjukkan gejala dan tanda jangkitan leptospirosis dan pihak hospital telah menghantar sampel darah untuk ujian ke makmal Institut Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur.

Dr Norhizan berkata, hasil siasatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kulim mendapati mangsa telah mandi di tempat perkelahan Lata Sedim pada 8, 10 dan 20 Mac lalu bersama tiga lagi rakannya, namun rakan-rakannya tidak mengalami sebarang gejala.

Tambahnya, PKD Kulim telah menjalankan pemeriksaan di kawasan perkelahan tersebut dan mendapati kawasan persekitaran di situ tidak memuaskan dan kerja-kerja pembersihan akan dijalankan pada 7 April ini melibatkan Jabatan Perhutanan, PKD Kulim dan beberapa agensi lain.

Dr Norhizan berkata pengunjung ke pusat rekreasi dinasihat agar menjaga kebersihan persekitaran bagi mengelakkan kehadiran perumah haiwan khususnya tikus yang meningkatkan risiko pencemaran dengan bakteria berkenaan.

"Pengunjung perlu elak daripada mandi di kawasan reakreasi sekiranya terdapat luka pada anggota badan selain membawa bekalan air sendiri dan tidak menggunakan air takungan sebagai air minuman.

"Orang ramai dinasihatkan supaya segera mendapatkan rawatan jika mendapat gejala demam, sakit kepala, sakit otot, loya atau muntah, dalam tempoh dua minggu dari tempoh mengunjungi tempat-tempat rekreasi (seperti kawasan air terjun, air sungai, tasik, ko[lam). - Bernama


15 views0 comments
bottom of page