TAIPING: Lima ditahan dipercayai positif dadah dalam tangkapan Ops Bersepadu Kenderaan Perdagangan yang dijalankan di Kilometer 225 berhampiran kawasan Rehat dan Riadah ( R & R) Bukit Gantang pada awal pagi Ahad.
Tangkapan itu melibatkan empat pemandu lori dan seorang penunggang motosikal dalam operasi yang berjalan selama tiga jam bermula 9 malam itu.
Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Negeri, Superitendan Wan Jamil Wan Chik berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 50 buah kenderaan melibatkan 30 buah lori dan 20 buah bas.
"Kita turut menemui satu alat menghisap dadah dalam sebuah lori yang ditahan dalam operasi tersebut.
"Kesemua lima lelaki yang positif dadah itu akan diserahkan kepada AADK bagi tindakan selanjutnya," katanya kepada pemberita selepas operasi berakhir.
Dalam operasi tersebut sebanyak 52 saman telah dikeluarkan melibatkan pelbagai jenis kesalahan yang melanggar undang-undang jalan raya yang merangkumi 31 saman JPJ dan 21 saman kompaun polis 257.
"Kita akan terus giat menjalankan operasi seperti ini untuk membanteras aktiviti dan kegiatan dadah kerana ianya masih berleluasa dan mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain.
"Dalam operasi seterusnya saya akan melibatkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Imigresen Negara," ujarnya.
Operasi bersepadu kenderaan perdagangan itu dilaksanakan dengan kerjasama 67 pegawai dan anggota, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik ( JSPT) Lebuhraya Zon Utara Bukit Aman dan IPK Perak,Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), PLUS dan PROPEL. :