BIDOR – Empat individu cedera ringan dalam nahas membabitkan lori dan kereta di Kilometer 339.6, Lebuhraya Utara Selatan berhampiran susur keluar Tol Bidor, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 petang itu, pemandu lori berusia 36 tahun dan kelindannya mengalami cedera ringan selepas lori yang dinaiki mereka terbalik pada besi pengadang di tengah lebuh raya.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Som Sak Din Keliaw berkata, siasatan awal mendapati Proton Persona yang dipandu wanita berusia 24 tahun melanggar belakang lori yang berada di lorong kiri.
“Akibat pelanggaran itu, lori ini gagal mengawal kenderaannya lalu terbabas ke kanan dan melanggar besi pengadang, lori berkenaan terbalik serta remuk.
“Pada masa sama, dua wanita iaitu pemandu dan penumpang hadapan masing-masing berusia 24 dan 21 tahun mengalami kecederaan ringan, manakala dua penumpang lain tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera dibawa mendapatkan rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Tapah.
“Sehingga kini, tiada tangkapan dibuat dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Perkara 10 Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan 166/59,” katanya.