PANGKOR - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menggesa Persatuan Nelayan Pulau Pangkor untuk mengguna pakai pelantar ikan sedia ada yang kini terbiar begitu sahaja.
Beliau membuat gesaan itu ekoran maklumat yang diterimanya mengenai keadaan jeti Sg Pinang Kechil yang agak uzur dan tidak lagi sesuai digunakan.
Beliau yang juga ADUN Pangkor berkata, jeti yang dibina oleh Jabatan Laut Malaysia sejak bertahun lalu itu telah terbiar sejak sekian lama, maka adalah lebih baik jika ia dijadikan pelantar bagi nelayan-nelayan di kawasan tersebut.
"Adalah lebih baik sekiranya persatuan nelayan dapat memikirkan cara terbaik untuk berpindah ke jeti itu kerana ianya lebih cantik, struktur diperbuat daripada konkrit.
Dr. Zambry meninjau tapak projek pembinaan rumah nelayan di Pulau Pangkor.
"Tambahan pula, jeti perikanan yang mereka gunakan kini diperbuat daripada kayu dan pastinya akan dimakan usia dan menjadi reput," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat PIBG Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil Pulau Pangkor pada Sabtu.
Terdahulu, Dr Zambry turut merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Pulau Pangkor kali ke-37 di Dewan Orang Ramai, Kampung Telok Kechil.
Katanya, sebelum ini, jeti yang dibina oleh Jabatan Laut Malaysia itu merupakan terminal penumpang, namun tidak diteruskan berikutan kedudukannya yang tidak begitu sesuai.
Dr Zambry berkata, jeti yang menelan kos pembinaan sebanyak RM3 juta itu bukanlah satu-satunya tempat pendaratan, malah terdapat banyak lagi lokasi lain di sekitar Pangkor.
Buat masa ini, ujar beliau, jeti tersebut digunakan sebagai lokasi pengeringan ikan dan berharap agar persatuan dapat mengambil perhatian ke atas perkara tersebut.
"Saya berharap agar apa yang dibangkitkan ini akan dibincang bersama dan juga diambil kira oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
"Gunakan apa (jeti) yang ada, yang telah lama siap dibina namun terbiar begitu sahaja kini, khusus bagi kemudahan nelayan-nelayan di kawasan Pangkor," tambahnya.
Dalam lawatan sehari itu, Dr Zambry turut menyampaikan sumbangan kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan cemerlang di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Tingkatan 3 (PT3) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).