IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perak merampas 792 barangan berjenama tiruan bernilai hampir RM300,000 di sebuah premis menjual pakaian di Bidor pagi Jumaat.
Timbalan Pengarah KPDNKK Perak, Mohd Khalis Kasim berkata, rampasan itu membabitkan barangan berjenama tiruan yang dijual secara atas talian facebook dengan menggunakan nama `fantastic’.
Menurut beliau, sepasukan pegawai penguatkuasa diketuai Ketua Cawangan KPDNKK Tapah, Mohd Ziyad Ismail yang membuat pemeriksaan dipremis berkenaan pada jam 10.50 pagi telah menemui barangan tiruan itu di dalam dua bilik khas yang dihias cantik. 1
``Di dalam bilik inilah barangan tiruan itu disimpan dan sebahagian besarnya dibawa masuk dari Hong Kong sebelum dijual di negara ini,’’ katanya kepada pemberita di pejabatnya di Bangunan Persekutuan, Ipoh pada Sabtu.
Mohd Khalis berkata, ekoran penemuan barangan tiruan itu, pegawai KPDNKK telah menyoal siasat seorang lelaki berumur awal 20 an mengikut Akta Perihal Dagangan 2011.
Menurut beliau, jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Pada sidang media yang sama, beliau menasihati para peniaga supaya berhati-hati dan tampil membuat laporan kepada pihaknya dan polis sekiranya dihampiri orang-orang tertentu yang menyamar sebagai pegawai KPDNKK.
Katanya, ini berikutan kes penahanan seorang lelaki yang menyamar sebagai pegawai KPDNKK dan menipu peniaga berikutan laporan polis yang dibuat oleh dua peniaga di Balai Polis Pasir Putih pada 31 Mac lalu.
``Mengikut prosedur, mana-mana pegawai KPDNKK yang membuat pemeriksaan perlu terlebih dahulu menunjukkan kad kuasa mereka dan kebiasaannya sekurang-kurangnya dua orang pegawai KPDNKK yang membuat pemeriksaan dan bukannya seorang,’’ katanya.