Kira-kira 5,000 peserta terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa sekitar Pengkalan Hulu telah menjayakan `Pesta Gagau’ ikan di Tasik Takong, Pengkalan Hulu pada Sabtu.
Ramai di kalangan peserta yang datang membawa jala, sauk dan pukat, turun ke dalam tasik untuk menggagau ikan sebaik sahaja pesta itu dirasmikan oleh ADUN Pengkalan Hulu, Aznel Ibrahim jam 9 pagi.
Turut hadir Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman.
Pesta itu yang berakhir pada jam 11.30 pagi menyaksikan suasana keceriaan di kalangan peserta apabila sebilangan besar mereka berhasil membawa pulang tangkapan ikan, antaranya lampam, sebarau dan udang.
Menurut Aznel, pesta itu antara lain bertujuan mendekatkan pemimpin dengan masyarakat di samping memantapkan lagi perpaduan rakyat setempat.
Katanya, menerusi pesta itu, pintu air dibuka bagi mengeringkan tasik sebelum air baru dimasukkan bagi membolehkan kira-kira 100,000 anak-anak ikan dari speisis tilapia dan lampam dilepaskan ke dalamnya.
``Sebab itu kita adakan pesta ini tiga tahun sekali bagi membolehkan anak-anak ikan ini membesar dan boleh ditangkap pada Pesta Gagau yang akan datang,’’ katanya.
Selain itu, ujarnya, kerja-kerja bagi membina pasar terapong akan dijalankan selepas itu untuk menjadikannya sebagai salah satu produk pelancongan Pengkalan Hulu.
``Saya yakin dan percaya apabila kita adakan pasar terapong nanti ia bakal menjadi salah satu kawasan tarikan pelancong terkenal di kawasan Pengkalan Hulu,’’ katanya.
Pada pesta itu Aznel turut menyampaikan hadiah berupa hamper kepada lima orang peserta yang berjaya menangkap ikan tilapia dan lampam seberat 4.5 kilogram