IPOH - Tun Mahathir sudah hilang waras, itulah komen Ahli Majlis Tertinggi UMNO yang juga Menteri Pelancongan Dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz mengenai bekas Perdana Menteri Malaysia tersebut.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Tun Mahathir yang menggunakan media asing daripada Australia untuk melakukan satu dokumentari khas mengenai keadaan politik di negara ini.
Menurut Nazri, ia adalah agenda dan propaganda tersendiri mantan Perdana Menteri itu untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata, ia sekadar taktik dan percubaan terakhir Tun Mahathir dalam memanipulasikan media asing untuk menghilangkan keyakinan pelabur antarabangsa serta pelancong asing untuk datang ke negara ini.
" Apa yang dia cuba lakukan adalah menggunakan publisiti murahan untuk menjatuhkan kestabilan ekonomi negara ini kerana Malaysia merupakan sebuah negara perdagangan dan apabila pelaburan terjejas, rakyat akan menyalahkan Najib.
" Dia sangat obses untuk menjatuhkan Perdana Menteri kita, dan memang beliau sudah hilang waras," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Pejabat Destination Perak di Tingkat 11, Perak Techno Trade Centre( PTTC) di Meru Raya, Ipoh pada Jumaat.
Nazri berkata, rakyat kini sudah boleh berfikir mengenai niat jahat di sebalik tindakan Tun Mahathir yang sudah boleh dijangka dan bersifat dendam.
Menurut beliau, sebelum ini Tun Mahathir telah berjaya menjatuhkan beberapa pemimpin terkemuka di Malaysia, namun usahanya untuk melakukan perkara tersebut ke atas Najib akan gagal walau dengan apa jua cara sekalipun.
Dalam pada itu, Nazri menafikan tindakan Tun Mahathir meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Proton Holdings Berhad ( PROTON) sebagai tindakan yang berprinsip, sebaliknya hanya untuk kepentingan sendiri.
" Perletakan jawatannya adalah agak terlambat dan kini kita harus membersihkan semua saki-baki krisis dan permasalahan yang ditinggalkannya dalam Proton.
" Ianya adalah atas kesenangan dirinya sendiri dan kita yang terpaksa menanggung perbuatan beliau," ujarnya.