IPOH – Sumber bekalan air di Perak masih terkawal walaupun fenomena El Nino yang melanda negara telah menyebabkan penurunan kadar aliran bekalan air mentah di beberapa intake sedia ada di negeri ini.
Lembaga Air Perak (LAP) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini pada Jumaat berkata, melalui pemantauan harian yang dijalankan, hanya pengeluaran air terawat dari Loji Rawatan Air (LRA) Taiping Headworks yang terjejas.
Gambar Hiasan
Menurut LAP, jumlah bekalan air dalam keadaan normal untuk kawasan Taiping dan sekitarnya adalah sebanyak 115 JLH sedangkan jumlah pengeluaran yang dicatatkan LRA Taiping Headworks pada 31 Mac adalah sebanyak 20 JLH.
“Ianya mencatatkan penurunan sebanyak 43 peratus atau 15 JLH lebih rendah daripada pengeluaran normal sebanyak 35 JLH,” kata kenyataan itu.
Bagaimanapun, menurut LAP, buat masa ini, kekurangan bekalan itu sebanyak 15 JLH dari LRA Taiping Headwork itu ditampung oleh bekalan air terawatt dari LRA Gunung Semanggol dan LRA Air Terjun.
“Pengezonan semula kawasan bekalan dapat dijalankan melalui kerja-kerja naif taraf saluran paip dan penyambungan antara zon bekalan yang telah dilaksanakan sebelum ini,” kata kenyataan itu lagi.
Penjelasan itu dikeluarkan sebagai merujuk kepada kenyataan Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Datuk Ismail Kassim bahawa tiga negeri, Pahang, Kedah dan Perak dilaporkan mengalami gangguan bekalan air ekoran cuaca panas melampau yang melanda seluruh negaraakibat fenomena El Nino.