IPOH - Usaha dan peranan isteri wakil-wakil rakyat membantu suami tidak kira di dalam program rasmi atau sebaliknya mampu memberikan impak positif dalam mendekati rakyat khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian, Perladangan, Penerangan dan Pembangunan Modal Insan, Datuk Saarani Mohamad berkata, tanggungjawab mereka sama pentingnya dengan suami masing-masing dan saling melengkapi.
Menurut beliau, jika boleh, isteri wakil rakyat hadir bersama-sama suami di dalam beberapa program di tempat mereka, untuk mendekati rakyat, lebih-lebih lagi pendekatan dengan kaum wanita.
“Peranan isteri seperti yang ditunjukkan oleh BAIDURI memberi impak yang cukup penting dalam memastikan wakil-wakil rakyat sentiasa dikasihi dan dihormati.
“Kita bersama-sama turun padang sebagai tanda ingatan kepada rakyat di kawasan masing-masing," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan BAIDURI Kali ke-27 di Kediaman Rasmi Menteri Besar pada Jumaat yang turut dihadiri Yang DiPertua BAIDURI, Datin Seri Saripah Zulkifli.
Saarani mencadangkan, pendekatan Kenduri, Bersalin, Sakit, Meninggal dan Malapetaka (KBSMM) perlu diimplikasikan bagi memperolehi kepercayaan rakyat selain menjadi sebahagian daripada program kemasyarakatan.
"Jangan ambil mudah pendekatan KBSMM, di saat ini isteri pergilah bersama-sama suami untuk menziarah mereka yang memerlukan," ujarnya.
Saarani turut mengalu-alukan penglibatan BAIDURI dalam Program Pemukiman Menteri Besar yang akan dijalankan pada bulan Mei di Kerian.
Sementara itu, Saripah di dalam ucapannya berkata, setakat ini BAIDURI mempunyai 38 orang ahli biasa dan 83 orang ahli tidak bersekutu yang merupakan isteri kepada mantan wakil rakyat.
"Setakat ini kita sudah melaksanakan pelbagai aktiviti untuk kebaikan bersama ahli masyarakat, termasuklah tugas kita untuk bantu suami masing-masing, menemani dan menyokong mereka dalam setiap program yang dijalankan," katanya.