Kerajaan negeri Perak mencatat surplus atau lebihan tujuh tahun berturut-turut sejak 2009 dan kali ini mencatat lebihan sebanyak RM7.39 juta pada Bajet 2015.
Menurut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, walaupun dengan lebihan yang kecil tetapi berkat pengurusan kewangan yang baik dengan usaha-usaha yang dilakukan oleh jabatan khususnya Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Hutan dan lain-lain ia telah memberikan satu pulangan yang baik kepada kerajaan negeri.
Beliau berkata, setakat ini kerajaan negeri mendapat lebihan RM7.39 juta dan unjuran defisit sebelum itu sebanyak RM50 juta dalam Bajet tetapi dapat memperolehi pendapatan sebanyak lebih RM57 juta.
"Ini merupakan satu kejayaan semua anggota kerajaan yang bekerja keras dalam memastikan agar sumber hasil negeri dapat dikutip dengan kadar lebihan,’’ katanya.
Dr Zambry berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2015 di Dewan Bankuet, Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat. Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Abdul Puhat Mat Nayan.
Menurutnya, meskipun keadaan ekonomi 2015 yang lalu khususnya selepas suku tahun kedua tidak begitu memberangsangkan namun kerajaan negeri masih dapat mengekalkan dari segi prestasi sumber hasilnya yang begitu baik dan masih lagi mengekalkan prestasi lebihan.
Dr Zambry berkata, pada tahun ini kerajaan negeri berharap akan dapat memperolehi belanjawan surplus meskipun perkembangan ekonomi pada masa kini agak tidak menentu.
"Harapan saya agar kita masih boleh capai setidak-tidaknya tahap seimbang kerana kita sedar tahun ini merupakan tahun mencabar dari segi pertumbuhan dan kedudukan sektor ekonomi yang ada,’’ katanya.