LABUAN: Jabatan Bomba dan Penyelamat menerima 28,434 panggilan kecemasan dengan 18,715 daripadanya berkaitan kebakaran di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Mac ini. Daripada jumlah itu, sebanyak 9,078 operasi menyelamat telah dilakukan, kata Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) jabatan itu Datuk Amer Yusof.
Beliau berkata peningkatan mendadak kes berkenaan berpunca daripada fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini. "Berdasarkan angka itu, orang ramai perlulah berhati-hati dengan keadaan cuaca sekarang kerana cuaca kering memberi kesan kepada aktiviti luar dan elakkan daripada membuang bahan mudah terbakar seperti putung rokok," katanya pada Majlis Khidmat Cemerlang dan Persaraan Kakitangan jabatan itu di sini, pada Khamis. Menurutnya sebanyak 9,231 kebakaran belukar dan 1,965 kebakaran hutan dilaporkan sepanjang bulan ini. Amer juga berkata jumlah panggilan kecemasan yang diterima pada 2015 adalah 80,183 dengan purata 20 panggilan sehari atau 10 panggilan sejam atau satu panggilan bagi setiap enam minit. "Ia menunjukkan penurunan berbanding 97,252 panggilan yang diterima pada 2014," katanya. Walaupun jabatan itu berusaha menyelamatkan harta benda daripada terbakar, katanya kebakaran menyebabkan kerugian kira-kira RM4.4 bilion pada tahun lepas berbanding RM2.8 bilion pada 2014, yang meningkat sebanyak 57 peratus. "Anggota kami telah melakukan yang terbaik dalam setiap operasi tetapi tugas ini penuh risiko. Sepanjang tahun lepas, sebanyak 153 kematian dicatatkan berbanding 139 pada 2014...kami harap angka itu tidak melonjak tahun ini," katanya.Amer berkata jabatan itu kini membekukan cuti semua kakitangannya bagi memastikan balai bomba sentiasa bersedia menghadapi sebarang kemungkinan. "Kami juga memastikan semua aset termasuk pam dan hos berada dalam keadaan baik untuk digunakan," katanya.