IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melahirkan rasa kecewa terhadap tindakan segelintir kumpulan yang campur tangan di dalam projek penambakan untuk pembangunan semula perkampungan nelayan di Teluk Muroh.
Beliau membidas kumpulan terbabit kerana lebih mementingkan diri sendiri dan tidak membantu kesusahan yang dialami penduduk dan nelayan di kampung berkenaan.
Sebaliknya , kata Dr Zambry, kumpulan itu telah membawa beberapa orang untuk mengadakan demonstrasi, seolah-olah penduduk dan nelayan di situ membantah projek penambakan itu.
Sebenarnya, kata beliau, ramai nelayan dan penduduk di situ mahu kerajaan negeri meneruskan projek tersebut kerana mereka penduduk asal yang telah menetap di situ berpuluh-puluh tahun.
``Sebagai penduduk asal di situ maka sudah tentunya mereka tahu azabnya kerana tinggal di tanah persendirian, masalah ceti dan sebagai wakil rakyat Pangkor saya tidak mahu melihat kesusahan mereka.
``Tetapi malangnya ada puak suka melihat nelayan-nelayan ini hidup menderita," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2015 di Dewan Bankuet, Bangun Perka Darul Ridzuan, Ipoh pada Jumaat.
Dr Zambry menegaskan, sekiranya benar keseluruhan masyarakat di perkampungan itu tidak mahu pembangunan maka kerajaan boleh menarik balik projek penambakan itu.
``Tetapi itu bukan perkara yang berlaku, macam semalam ramai nelayan dan penduduk di situ mahu kerajaan negeri meneruskan projek penambakan itu bagi mengubah corak hidup masa depan mereka,’’ ujarnya.
Menurut Dr Zambry, kerajaan negeri mempunyai dua pendekatan, pertama sama ada mengambil alih tanah berkenaan dan kedua membuat penempatan untuk membina rumah bagi penduduk.
Katanya, pendekatan pertama telah diperhalusi tetapi ia melibatkan kos yang cukup tinggi melebihi RM38 juta.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah mengambil pendekatan kedua dan mengarahkan supaya kajian dibuat terlebih dahulu kerana tidak mahu memberi kesan kepada alam sekitar selain turut mengadakan perbincangan dengan penduduk.
Kelmarin lebih 50 keluarga nelayan yang tinggal di perkampungan nelayan Teluk Muroh, Lumut telah mengadakan demonstrasi secara aman mendesak badan bukan kerajaan (NGO) supaya jangan campur tangan dalam urusan projek penambakan itu.
Mereka mahu kerajaan negeri meneruskan projek berkenaan terutama penyediaan penempatan demi masa depan anak khususnya generasi kedua nelayan di situ dan cucu mereka.