top of page
muinsapidin

Perak Pastikan Pelajar Luar Bandar Dapat Manfaat Tuisyen Online

IPOH - Perak akan meningkatkan penembusan jalur lebar ke kawasan luar bandar bagi mempastikan pelajar di kawasan berkenaan turut menikmati manfaat Amanjaya Tuisyen Online (ATO).

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, sejak pelaksanaan ATO pada 2013, lebih 400,000 guru dan pelajar telah mendapat manfaat daripada portal pembelajaran atas talian itu.

Menurut beliau, Kperak telah diminta supaya mempastikan akses internet di luar bandar dapat dipertingkatkan dan kajian keberkesanannya akan dibuat dari semasa ke semasa.

“Cadangan juga telah dikemukakan kepada pihak Kementerian Komunikasi bagi menyediakan penembusan jalur lebar dan kementerian telahpun bersetuju untuk membantu,” katanya pada sidang media selepas merasmikan ATO dan Bengkel Mind Mapping di Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh pada Khamis.

Dr Zambry berkata, setakat ini, ATO telah memuatnaik 4,200 modul berbentuk video ulang kaji dalam pelbagai mata pelajaran bagi kegunaan pelajar dari darjah satu sehingga tingkatan lima.

Sambil memberitahu bahawa sistem tersebut telah mendapat maklum balas positif daripada pelbagai pihak, beliau berharap ia dapat diperkenalkan ke peringkat kebangsaan.

“Sistem ini sekarang semakin mendapat tempat dan telah pun menerima banyak pertanyaan daripada pelbagai pihak.

“Ianya telah diperkenalkan di beberapa tempat lain, termasuk beberapa buah negeri, malah ada sebuah negeri telah pun memperkenalkan sistem yang sama,” jelasnya.

Justeru itu, kata Dr Zambry, kerajaan negeri amat komited dalam mempastikan semua pelajar mahu pun guru di negeri ini dapat menikmati akses itu demi kecemerlangan pendidikan Perak.


20 views0 comments
bottom of page