LUMUT - Lebih 50 keluarga nelayan yang tinggal di perkampungan nelayan Teluk Muroh di sini mengadakan demonstrasi secara aman mendesak badan bukan kerajaan (NGO) supaya jangan campur tangan dalam isu projek penambakan bagi pembangunan semula perkampungan nelayan berkenaan.
Ini kerana mereka mahu kerajaan negeri Perak meneruskan projek berkenaan, terutama penyediaan penempatan, demi masa depan anak khususnya generasi kedua nelayan di situ dan cucu mereka.
Menurut seorang penduduk, Puan Norimah Wahid, 46, beliau dan keluarga nelayan lain tidak mahu campur tangan dan hasutan pihak NGO supaya projek itu dihentikan, sedangkan keluarga nelayan mahu ia diteruskan untuk menyediakan kemudahan penempatan mereka.
``Kalau boleh belalah nasib nelayan di sini kerana kami kini tinggal di tanah persendirian, kalau diusir ke mana kami hendak tinggal.
``Oleh itu kami mahu kerajaan meneruskan projek penambakan ini dan kami tidak mahu campur tangan pihak NGO yang cuba menghasut nelayan supaya menolak projek itu,’’ katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menyertai demonstrasi itu di pantai perkampungan nelayan Teluk Muroh, Lumut pada Rabu.
Seorang nelayan, Janudin Osmah, 56, berkata, beliau dan nelayan kampung tetap mahu kerajaan negeri meneruskan projek pembangunan semula kampung nelayan Teluk Muroh dan tidak bersetuju dengan unsur-unsur yang cuba menganggu-gugat projek itu.
``Kami nelayan di sini amat berharap supaya kerajaan meneruskan projek pembangunan semula kampung nelayan ini kerana selain menyediakan pelbagai kemudahan seperti jeti, bot dan perahu untuk ke laut menangkap ikan, penempatan juga diberikan kepada mereka.
``Saya merasa amat kecewa dengan tindakan NGO yang cuba campurtangan dalam urusan projek penambakan ini agar ia dihentikan sedangkan projek ini benar-benar membawa manfaat besar kepada penduduk dan nelayan di sini,’’ ujarnya.
Beliau bersyukur kerana kerajaan negeri dan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang juga ADUN Pangkor telah memberi harapan baru kepada penduduk dan nelayan bahawa projek berkenaan dapat mengubah kehidupan masa depan nelayan dan penduduk di Teluk Muroh.
Sementara itu, Ketua Kampung Teluk Muroh, Salim Ghazali, 55, yakin projek pembangunan semula perkampungan nelayan di Teluk Muroh itu akan memberi manfaat besar kepada keluarga nelayan di situ.
Katanya, jika sekarang ini ramai keluarga nelayan tinggal di rumah daif yang diperbuat daripada papan tetapi apabila adanya penempatan semula, mereka dapat tinggal dalam suasana lebih selesa.
Menurutnya, sebelum ini beliau cuba memohon bantuan beberapa pihak tetapi disebabkan tidak ada geran hak milik, bantuan tidak dapat disalurkan sepenuhnya kepada keluarga nelayan.
``Jadi bila wujudnya projek ini, dapatlah menyelesaikan sedikit sebanyak masalah penduduk kampung dan juga nelayan-nelayan di Teluk Muroh ini,’’ katanya.
Pegawai Daerah Manjung, Mohamad Fariz Mohamad Hanip dalam satu sidang media baru-baru ini memberitahu, projek penambakan bagi pembangunan semula perkampungan nelayan Teluk Muroh bakal menyelesaikan isu perumahan yang membelenggu penduduk terlibat.
Katanya, projek itu tidak akan mengetepikan kepentingan penduduk dan komuniti nelayan di kawasan berkenaan.
Menurutnya, kerajaan negeri melaksanakan pembangunan di kawasan seluas 17.6 hektar itu adalah untuk membantu memulihkan corak kehidupan penduduk yang rata-rata tinggal di tanah rizab dan persendirian.