IPOH – Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berjaya mengutip RM29.71 juta cukai taksiran sepanjang tahun 2015, meningkat RM1.51 juta atau 5 peratus berbanding RM28.2 juta tahun sebelumnya.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berkata, bilangan warga Ipoh yang membayar cukai taksiran untuk setahun sekaligus pula melebihi 120,000 orang.
Zamri Man bergambar bersama pemenang cabutan bertuah
Sehubungan itu, beliau yakin, bilangan itu akan terus meningkat dari semasa ke semasa seiring dengan peningkatan kesedaran warga Ipoh untuk melunaskan tanggungjawab mereka.
“MBI sedang menuju ke arah mendapatkan pengiktirafan lima bintang dan salah satu syaratnya ialah mengutip lebih 95 peratus cukai.
“Peningkatan yang berlaku ini adalah tanda positif wargakota menyambut baik usaha yang dilakukan oleh MBI,” katanya ketika berucap di majlis penyampaian hadiah utama cabutan bertuah cukai taksiran 2016 di Wisma MBI di sini pada Khamis.
Seramai 30 hadiah utama disediakan, antaranya lima buah motosikal, 10 basikal,Ipad, telefon bimbit dan barangan eletrik.
K. Jeevaratnam
K. Jeevaratnam, 52 dari Taman Pertama yang memperolehi hadiah utama sebuah motosikal berkata, sejak sekian lama, dia memang menjelaskan cukai taksiran setahun sekaligus.
Sambil menyatakan rasa gembira kerana pertama kali memenangi hadiah cabutan bertuah itu, dia mengakui berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh MBI sejak beberapa tahun lalu.
“Memang layak kalau MBI mendapat pengiktirafan lima bintang kerana perkhidmatan yang diberinya sangat baik, saya amat berpuas hati,” katanya penuh yakin.
Pendapatnya disokong Mohd Amin Hashim, 63, pesara kerajaan dari Kg Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 yang merupakan antara penduduk asal kampong tersebut.
Mohd Amin Hashim
Berdasarkan kepada itu, Mohd Amin berkata, setiap tahun sejak mendapat hak milik tanah pada 1977, dia membuat bayaran cukai taksiran setahun sekaligus.
“MBI membuat pungutan sampah ikut jadual, kalau longkang tersumbat atau rumput panjang, mereka datang sendiri, tak perlu saya buat aduan, memang layak kalau MBI diberi lima bintang,” ujarnya sambil mengucapkan terima kasih terhadap perkhidmatan yang diberikan itu.