IPOH – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak (MAIPk) berhasrat meningkatkan bilangan penerima biasiswa pendidikan Baitulmal daripada 357 sekarang kepada 500 orang.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Dr Amiruddin Muhamed berkata, pihaknya mensasarkan untuk meningkatkan jumlah penerima sumbangan yang terdiri daripada pelajar di tingkatan 1 hingga tingkatan 5.
Menurut beliau, terdapat kriteria tertentu untuk menerima bantuan itu, meliputi 30 peratus dari sudut tahap kehidupan keluarga (had kifayah), 30 peratus keputusan peperiksaan UPSR, 30 peratus keputusan Sijil Pendidikan Islam Tahun 6 (SPI) dan 10 peratus melalui aktiviti ko-kurikulum.
“Objektif kita adalah untuk meningkatkan mutu pembelajaran dan mempastikan golongan kurang berkemampuan mendapat pendidikan sempurna," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Skim Biasiswa Pelajaran Baitulmal 2016 di Dewan Al-Ghazali, Kompleks Islam Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Pada majlis itu, seramai 100 pelajar tingkatan satu terpilih dari seluruh negeri Perak menerima tajaan biasiswa pelajaran sebanyak RM1,000 setahun.
Dr Amiruddin memberitahu, sejak dilaksanakan pada tahun 2012, skim biasiswa itu telah memberikan manfaat kepada 357 orang pelajar dengan jumlah perbelanjaan melibatkan RM 357,000 setahun.
Menurutnya, pemberian itu melibatkan pelajar tingkatan satu yang memperolehi keputusan cemerlang dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun lalu dan melepasi sesi temuduga.
"Pemilihan penerima yang layak terdiri daripada golongan asnaf dan fakir miskin dan mereka akan diberi tajaan sehingga tingkatan lima," tambahnya.
Sementara itu, seorang penerima biasiswa, Azharuddin Abdul Aziz,13, yang kini di Sekolah Berasarama Penuh Integrasi Gopeng gembira apabila terpilih menerima sumbangan kali ini.
“Ayah dan ibu saya bekerja sebagai penoreh getah, melalui sumbangan ini, saya dapat membantu kedua ibu bapa, tambahanya pula adik beradik saya ramai lagi yang masih bersekolah dan perlukan belanja banyak, Alhamdulillah,” kata anak ketiga daripada enam beradik itu.
Seorang lagi penerima, Nurul Aqilah Ahmad, 16, dari SMK Kuala Kurau berkata, bantuan yang diterimanya sejak di tingkatan 1 amat membantunya untuk sesi persekolahan.
"Dapat bantuan boleh beli buku untuk ulangkaji, dapatlah kurangkan beban emak saya, terima kasih kepada pihak MAIPk yang hulurkan bantuan kepada kami," kata Nurul Aqilah yang merupakan pelajar cemerlang PT3 dengan keputusan 10A.