SITIAWAN - Cubaan enam warga Filipina untuk menggunakan kad pengenalan palsu bagi mendapatkan kerja gagal apabila ditahan dalam Ops ID di sebuah kawasan perindustrian di sini pada Khamis. Kesemua mereka juga menyamar kononnya merupakan warga tempatan dari Sabah dan berumur dalam lingkungan 23- 40 tahun.
Mereka ditahan dalam operasi bersepadu sepasukan 65 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya dan JPN negeri dengan kerjasama Jabatan Imigresen Negeri Perak. Ketua Pengarah Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Ibu Pejabat JPN Putrajaya, Mohamad Yusri Hashim berkata, keenam-enam lelaki tersebut dipercayai menggunakan taktik berkenaan untuk bekerja di sekitar kawasan itu. "Tiga daripadanya menggunakan kad pengenalan tulin namun mereka bukanlah pemilik asal kad berkenaan manakala selebihnya adalah palsu berdasarkan ketiadaan data mereka di dalam sistem pengesahan identiti di JPN. "Kami percaya mereka mendapat kad pengenalan itu samada melalui sindiket atau mencuri, malah kemungkinan membeli dokumen identiti itu," katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas operasi yang bermula seawal 6 pagi itu berakhir. Menurut Yusri, sekeping kad pengenalan yang dipercayai dijual melalui sindiket atau dalam pasaran gelap boleh mencecah sehingga ratusan ribu ringgit.
Katanya, operasi tersebut dijalankan hasil risikan dan aduan awam yang mendakwa kebanjiran warga asing di daerah ini semakin meningkat dan menyebabkan kehilangan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Beliau memberitahu, daerah Manjung mencatatkan antara lokasi penyalahgunaan dokumen pengenalan diri tertinggi di Semenanjung Malaysia dan didaftarkan sebagai "blackspot" atau kawasan hitam.
"Justeru itu, saya ingin menasihatkan pengusaha kilang dan pemilik perindustrian agar menggunakan penapisan terperinci dengan merujuk kepada pihak kami dan pihak berkenaan dalam mengesahkan ketulinan dokumen pengenalan diri khususnya warga asing
"Hal ini amat penting bagi mengelakkan individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan kad pengenalan untuk pelbagai jenis urusan di seluruh Malaysia, termasuklah aspek keselamatan," tegasnya
Semua enam yang ditahan akan dihantar ke pihak penguatkuasaan JPN Perak bagi siasatan lanjut dan akan disiasat di bawah Akta Pendaftaran Negara 1990.
Dalam operasi itu, Jabatan Imigresen Negeri Perak turut berjaya menahan 13 warga asing membabitkan kesalahan di bawah 6(1)(c) Akta Imigresen 1969.