top of page
muinsapidin

Hantaran: Pengantin Lelaki Jangan Berselindung

KOTA BHARU - Kerajaan negeri menasihatkan keluarga pengantin supaya menghormati institusi akad nikah, malah pihak lelaki wajib berterus terang dalam apa jua status terutama berkait wang hantaran.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat, Mumtaz Md Nawi berkata, seelok-eloknya perkahwinan perlu ada perundingan dan kesabaran, bukan diakhiri dengan sengketa.

Gambar yang menjadi viral di laman sosial. - Foto Sumber Internet

“Perkahwinan itu proses berkahwin dan penyatuan dua keluarga, sebaik-baiknya berunding dan sabar, tidak jadi kahwin bukan bererti kena berbalah.

“Mas kahwin pula simbol ekonomi dan nafkah kepada isteri dan ia bukan segala-galanya, namun pihak lelaki wajib berterus terang dengan apa jua status supaya tidak timbul isu dan penipuan,” katanya.

Beliau mengulas mengenai kisah dua keluarga pengantin bergaduh di Masjid Jamek Al-Khadijah di Pantai Dalam, Sabtu lalu dan dimuat naik ke laman Facebook menjadi viral dan bualan masyarakat.

Mumtaz berkata, sewajarnya rombongan yang berada di masjid perlu menghormati tempat ibadah itu kerana masjid adalah institusi yang paling mulia dalam Islam.

“Majlis mulia dan ceria, jangan dicemari insiden hina-menghina dan perkelahian, mereka dituntut menjayakan kerja baik ini,” katanya.

Jelasnya, pernikahan adalah kontrak antara dua manusia sepanjang hidup dan akan melahirkan zuriat, jadi pasangan yang bakal berkahwin perlu berhati-hati dalam soal perkahwinan berkenaan.

“Kedua-dua pihak perlu bersabar dengan solat dan doa kerana syaitan menggalakkan pergaduhan untuk gagalkan perkahwinan,” katanya.

Tegasnya, keluarga itu sendiri dan orang ramai diminta tidak menyebarkan video dan memanjangkan kes tersebut kerana di dalamnya terselit maruah dan masa depan.


9 views0 comments
bottom of page