TELUK INTAN - Cuaca panas dan kering menyukarkan operasi memadam kebakaran di Tapak Pelupusan Sampah Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) di Batu 7, Jalan Changkat Jong sejak Ahad lalu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan, Zulkafli Abdullah berkata, anggotanya dan pekerja MPTI masih lagi bertungkus-lumus memadamkan kebakaran seluas 2.3 hektar tersebut.
“Kami menerima panggilan daripada orang awam pada jam 4.08 petang Ahad lalu dan tiba di lokasi kejadian jam 4.29 petang di mana waktu itu api sedang marak.
“Setiba di lokasi, saya bersama anggota terlibat terus menjalankan kerja-kerja memadam serta mengawal kebakaran daripada merebak,” katanya.
Ditanya mengenai punca kebakaran, Zulkafli berkata, ia masih lagi dalam siasatan dan tidak menolak kemungkinan cuaca panas sebagai antara punca.
“Saya juga mengesyaki bahawa ada kemungkinan berlaku kebakaran kecil di tapak pelupusan ini dan kemudian ia merebak.
“Apa pun kita masih perlu menunggu laporan forensik bagi mengetahui punca kebakaran,” katanya.
Zulkafli berkata, cuaca panas dengan suhu 35 darjah Celsius yang melanda kawasan ini hampir sebulan boleh menyebabkan dasar longgokan sampah yang sebelum ini basah menjadi kering.
“Ia menyebabkan api merebak dengan pantas dan memberi kesukaran kepada anggota bomba memadamkan sepenuhnya.
“Bagaimanapun kita berjaya mengawal kebakaran dan kerja-kerja memadam masih lagi dijalankan dengan bantuan Balai Bomba Hutan Melintang, Tapah dan Bidor,” katanya.
Tambahnya, pihaknya turut menggunakan dua tangki air 10,000 dan 20,000 gelen dalam usaha memadamkan kebakaran.
"Kita juga akan melakukan operasi defensive serta cooling menggunakan empat aliran air bagi mengawal api daripada terus merebak ke kawasan kebun berhampiran," katanya.