IPOH – Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) membuka lebaran baru dalam perniagaan mereka apabila melancarkan Outlet dan Spa Forest Colour
pertamanya di Casuarina@Meru.
Pelancaran itu yang disempurnakan isteri Menteri Besar, Datin Seri Saripah Zulkifli merupakan simbol kejayaan perbadanan itu di dalam mengkomersialkan kepelbagaian produk bio sendiri.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP, Datuk Ahmad Rizal Abdul Rahman, pembukaan outlet itu membolehkan perbadanan memperluaskan penawaran produk kosmetik kepada perkhidmatan spa bukan sahaja di Indonesia, malah kini kembali di Malaysia.
Beliau memberitahu, sebelum ini produk Forest Colour sudah dipasarkan di Indonesia melalui kira-kira 500 outlet serta toko-toko dan Watson di negara itu.
“Kita fokuskan untuk pasaran di Jakarta, Bandung dan terbaharu di Kalimantan, segala perancangan untuk pemasaran kita lakukan dengan teliti sebab mahukan hasil dan pulangan yang terbaik," kata Ahmad Rizal dalam sidang media sempena perasmian oulet pertamanya itu pada Rabu.
Menurut Rizal, produk kosmetik Forest Colour adalah produk halal yang sesuai untuk setiap wanita, samada di Malaysia mahupun di seluruh dunia, berasaskan herba yang diinspirasikan daripada hutan hujan tropika.
Beliau berharap, melalui pembukaan outlet itu, dapat menggalakkan lagi lebih ramai usahawan yang berminat untuk terlibat sama majukan industri ini.
“Ia akan menggalakkan industri herba untuk maju sehingga ke pasaran global, sekaligus membuka peluang pekerjaan kepada orang ramai kerana kita mahu berkongsi kebaikan bersamam” ujarnya.
Dalam pada itu, Saripah yang juga Yang DiPertua BAIDURI berkata, pembukaan outlet itu memberi impak positif dalam usaha PPPNP memperluaskan produk keluarannya.
“Jika sebelum ini mereka hanya tertumpu kepada bidang pertanian, tetapi usaha yang ditonjolkan dalam penghasilan produk kosmetik memberikan pulangan di masa sekarang," katanya sewaktu berucap di majlis itu.
Outlet Forest Colour merupakan antara saluran pemasaran Forest Colour ke seluruh Malaysia dengan menawarkan produk kosmetik warna, wangian dan perkhidmatan spa berasakan herba.
Ia turut meliput rawatan kulit wajah, penjagaan kuku, rambut dan solekan.