IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir meminta semua pihak, khususnya Jabatan Kerja Raya, polis dan pihak berkuasa tempatan (PBT) melakukan pemantauan bagi memastikan kecurian di Jambatan Raja Permaisuri Bainun di Kampung Baru Sitiawan tidak berulang.
Beliau turut meminta kerjasama orang ramai untuk menjadi mata dan telinga pihak berkuasa bagi membenteras kejadian itu, sekaligus menangkap mereka yang tidak bertanggunjawab
Beliau memberitahu, kerosakan dan kehilangan yang berlaku di jabatan itu, yang dilaporkannya hasil lawatan mengejut beliau baru-baru ini telah dibaiki dan diganti dengan peruntukan khas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada beliau kerana meluluskan peruntukan khas itu dan keadaan jambatan telah kembali seperti sedia kala,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di pejabatnya di sini pada Rabu.
Dr Zambry menegaskan bahawa beliau memandang serius perbuatan merosakkan kemudahan awam yang disediakan oleh kerajaan kerana ia akan menyusahkan rakyat.
“Bayangkan kalau tanpa tindakan tegas diambil, kemudahan asas yang disediakan oleh kerajaan seperti jambatan dan jalan dirosakkan, lampu dan kabel letrik dicuri, tentu rakyat tidak boleh menggunakannya,” ujar beliau.
Baru-baru ini, ketika lawatan mengejutnya, Dr Zambry mendedahkan kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM500,000 akibat perbuatan pihak tidak bertanggungjawab mencuri besi penghadang serta kabel elektrik dan telefon di Jambatan Raja Permaisuri Bainun.
Sehubungan itu, beliau telah meminta pihak polis menubuhkan jawatankuasa bagi membanteras perbuatan itu dan memburu kumpulan atau individu yang melakukan jenayah tersebut.