IPOH - Pelajar Maahad Tahfiz al-Quran Wal Qiraat (MTQN) Perak merayu kerajaan negeri agar mengkaji semula rancangan meletakkan maahad tahfiz itu di bawah pentadbiran Koleh Universiti Islam Sultan Azlan Shah (KUISAS).
Ketuanya, Muhammad Fahmi Kamaruddin berkata, rancangan untuk menukarkan mahaad itu kepada Pusat Pengajian Hadis di KUISAS adalah tidak adil kepada pelajar-pelajar di situ.
Menurut beliau, mereka yang sedang belajar di MTQN bukan dalam bidang hadis, sebaliknya lebih berminat di dalam ilmu Qiraat.
“Pensyarah di sini juga adalah dalam bidang Qiraat dan Tahfiz, ia akan menjadi suatu kesalahan apabila mereka diminta mengajar dalam bidang yang bukan kelayakkan mereka,” katanya ketika membuat bantahan bersama 57 pelajar lain di hadapan Institut Tadbiran Islam Perak (INTIM) di sini pada Rabu.
Fahmi mendakwa, pengambil alihan itu juga tidak menepati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 2004 selaku Raja Muda ketika itu yang menyarankan supaya Pengajian al-Hadis dapat diwujudkan.
“Fokus utama KUISAS dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) sepatutnya adalah melaksankan titah Sultan Perak iaitu mewujudkan pusat pendidikan Darul al-Quran Wal Hadith.
“Bukannya merancang dan mengambil alih MTQN Perak yang telah terlaksana sejak 30 tahun ini untuk ditukarkan kepada Darul al-Quran Wal Hadith,” ujarnya.
Beliau mendakwa, ketika ini mahaad tahfiz itu mendapat pengiktirafan dari Darul Quran yang membolehkan pelajar-pelajar di situ meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Di KUISAS pengiktirafan itu tidak diberikan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), jadi kita takut ianya akan menghadkan peluang pelajar-pelajar ini,” ujarnya.