IPOH - Kerajaan negeri Perak mencadangkan pengunaan senarai e – Kasih sebagai syarat penyaluran bantuan kerajaan di kaji semula bagi membantu mengurangkan golongan miskin di negeri-negeri.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, syarat itu menyebabkan rakyat yang telah dibantu, tidak dapat dikeluarkan daripada senarai tersebut kerana mereka masih memerlukan bantuan lain.
Beliau berpendapat, penyaluran bantuan kerajaan tidak semestinya bergantung kepada senarai e – Kasih, sebaliknya perlu mengambil kira masalah khusus yang dihadapi oleh pemohon.
Ujarnya, ada negeri yang terus mengeluarkan penerima bantuan daripada senarai berkenaan tetapi ada juga negeri yang terus mengekalkannya kerana syarat permohonan bantuan lain.
“Walaupun di Perak tidaklah begitu serius dari segi jumlahnya tetapi kita rasakan disebabkan sistem yang begini menyebabkan bilangan itu tidak dapat dikurangkan,” katanya beliau ditemui selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Rabu.
Menurut beliau, banyak jabatan dan agensi kerajaan yang mensyaratkan pemohon beberapa bantuan kerajaan seperti perumahan dan peralatan, mesti di dalam senarai e – Kasih.
Dr Zambry berkata, kerajaan negeri Perak sendiri menggunakan pendekatan tertentu di dalam program membasmi kemiskinan yang dilaksanakan melalui Yayasan Bina Upaya (YBU).
“Kalau ikut berdasarkan kepada bantuan-bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri dan sebagainya, lebih ramai sepatutnya tetapi ada yang masih kekal di dalam itu (senarai e – kasih) memandangkan mereka ini masih memerlukan perkara-perkara yang lain,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan, bilangan rakyat miskin di Perak berkurangan hampir separuh pada 2014, berbanding kira-kira lapan ribu pada 2012 manakala bilangan miskin tegar berkurangan dari 1,200 kepada 700 dua tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri juga akan membuat penyelidikan sendiri untuk mengetahui bilangan sebenar kumpulan itu, berdasarkan kepada keadaan dan kedudukan mereka.