IPOH - Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mengadakan lawatan mengejut ke sekitar bandaraya Ipoh lewat malam Isnin.
Lawatan itu, yang diadakan tanpa iringan pegawai, hanya disertai oleh Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man.
Pada lawatan itu, Dr Zambry mengamati isu pencahayaan di sekitar bandaraya Ipoh, antaranya mencahayakan pokok-pokok besar terutama di sepanjang Sungai Kinta.
Menurut beliau pencahayaan pokok hujan (raintrees) ini akan menjadi satu tarikan kepada bandaraya Ipoh.
"Ini merupakan aset besar yang perlu digunakan sepenuhnya terutama di Taman DR Seenivasagam bagi memastikan kawasan ini terang," katanya.
Di samping itu, Dr Zambry juga telah mengarahkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) supaya mengatasi masalah lampu-lampu jalan yang tidak berfungsi.
"Ada tempat-tempat yang dulunya dijaga dengan baik tetapi kerana masalah ini, ia tidak menjadi tarikan lagi," tambah beliau.
Menteri Besar juga telah mengarahkan MBI mengatasi masalah itu dengan segera.
"Saya percaya Datuk Bandar akan mengambil tindakan segera, kerana beliau seorang yang pro-aktif," katanya.
Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pengikut beliau di dalam media sosial termasuk facebook dan instagram yang memberikan maklumbalas dan komen positif.