top of page
muinsapidin

Aman Palestin Perak Ambil Langkah Proaktif Dekati Usahawan

IPOH - Aman Palestin Perak mengambil langkah proaktif mendekati seramai mungkin usahawan dan ahli korporat di negeri ini bagi mengumpul dana membantu rakyat Palestin yang kini dibelenggu ancaman rejim zionis.

Pengurus Aman Palestin Perak, Khairul Amin Ibrahim berkata, bagi merealisasikan matlamat itu, program-program minum petang (Hi-Tea) akan dijalankan sebagai platform pertemuan `empat mata’ diantara Aman Palestin dan para usahawan.

Menurut beliau, sebagai gerakan pertama, pihaknya mengadakan majlis minum petang bersama 35 usahawan dan Badan Amal dan Usaha Isteri negeri Perak (BAIDURI) yang dipimpin oleh Yang Dipertuanya, Datin Seri Saripah Zulkifli di Kinta Riverfront, Ipoh pada Selasa.

''Idea ini dicetuskan hasil perbincangan di peringkat cawangan zon utara iaitu Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis dengan mensasarkan seramai mungkin usahawan untuk turut serta menderma membantu rakyat Palestin,’’ katanya kepada pemberita.

Khairul turut berharap, pihaknya dapat menyusun langkah untuk bekerjasama dengan BAIDURI dan Majlis Agama Islam Perak (MAIP) bagi mendapatkan sumbangan daripada usahawan-usahawan yang berjaya dilahirkan oleh MAIP.

Beliau menjelaskan bahawa usaha membantu rakyat Palestin melalui kutipan untuk makanan, pembinaan masjid dan pembukaan ladang pertanian tetap akan diteruskan walaupun masjid dan ladang dimusnahkan oleh rejim zionis.

''Kita akan bina semula masjid dan ladang pertanian untuk mereka yang telah dimusnahkan sebelum ini oleh rejim Palestin,’’ katanya.

Pada majlis itu, Saripah dan wakil-wakil usahawan menyampaikan sumbangan kepada Aman Palestin Perak bagi membantu rakyat Palestin.


13 views0 comments
bottom of page