SABAK BERNAM - Seorang penuntut Politeknik Sultan Idris Shah (PSIS) Sungai Lang Sabak Bernam, maut selepas motosikal ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di Jalan Ladang Air Manis, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam itu, mangsa, Muhammad Syamshuzzaman Sa’ari, 18, meninggal dunia di tempat kejadian selepas motosikal Suzuki mangsa terseret pada bahagian bawah sebuah kereta sebelum tercampak kira-kira dua meter dari motosikal berkenaan.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Nor Azmi Isa berkata, mangsa yang beralamat di Tampoi, Johor Bahru itu, dipercayai dalam perjalanan pulang ke asrama selepas menziarahi bapa saudaranya di Kuala Lumpur.
“Siasatan awal polis mendapati, mangsa dari arah Air Manis ke PSIS, manakala sebuah kereta Proton Saga dari arah bertentangan menghala ke jalan besar Klang-Teluk Intan.
“Penunggang motosikal dipercayai gagal mengawal kenderaannya lalu masuk ke laluan bertentangan sebelum bertembung Proton Saga itu yang kemudian menyeret motosikal mangsa,” katanya.
Menurutnya, mangsa tercampak atas jalan raya akibat rempuhan kuat itu.
Beliau berkata, salah seorang daripada lima individu termasuk pemandu kereta iaitu seorang wanita penumpang tempat duduk depan cedera pada hidung.
“Kereta terbabit dinaiki seorang lelaki bersama keluarga tunangnya. Wanita yang cedera itu menerima rawatan lanjut di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam.
“Manakala, mayat penunggang motosikal dibawa ke hospital sama untuk dibedah siasat,” katanya.
Menurutnya, jenazah penuntut semester satu politeknik itu dituntut warisnya kira-kira jam 10.30 pagi semalam.
Jenazah dibawa ke rumah keluarganya di Tanah Merah, Kelantan untuk dikebumikan.
Beliau berkata, kes kemalangan itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.