top of page
muinsapidin

Kilang Simen Sebabkan Percemaran Diberi Notis

BATU GAJAH - Sebuah kilang memproses simen putih di Persiaran Batu Gajah Perdana 6, Taman Perindustrian Batu Gajah Perdana diberi tempoh sebulan untuk memperbaiki sistem pengurusan bahan mentah atau berdepan tindakan keras.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, sistem pengurusan bahan mentah seperti simen, pasir dan kapur di kilang itu ketika ini berada di tahap tidak memuaskan sehingga menyebabkan pencemaran udara di kawasan sekelilingnya.

Menurut beliau, pihaknya mendapati bahan-bahan utama yang dibawa masuk ke dalam kilang tidak diuruskan dengan baik, sehingga menyebabkan habuk berterbangan sebelum kerja-kerja pembungkusan.

“Kita dapati beberapa proses yang dilakukan juga tidak mematuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya ditemui Suara Perak selepas melakukan pemeriksaan mengejut di kilang berkenaan pada Selasa.

Justeru, menurut beliau, kilang yang telah beroperasi sejak empat tahun lalu itu telah diarahkan mengunakan peralatan serta Prosedur Operasi Standard (SOP) mengikut piawaian yang ditetapkan.

Beliau menegaskan, sekiranya pihak pengurusan kilang itu gagal mematuhi arahan yang dikeluarkan selepas tempoh 30 hari, mereka bakal berdepan tindakan penutupan operasi.

“Notis sebulan itu telah dikeluarkan melalui Akta Alam Sekitar 31 dan 37, kita akan periksa lagi selepas sebulan, kalau masih tidak memenuhi lagi kita boleh beri arah tutup tapi kita tak mahu sampai ke tahap itu.

“Kalau mereka bekerjasama dan mengikut apa yang kita beritahu mereka tadi seperti mengunakan peralatan yang sesuai di dalam kilang serta menguruskan masalah habuk ini termasuk di hadapan kilang ini, takkan ada masalah,” tegasnya.

Pada Isnin, beberapa pengusaha kilang dan penduduk sekitar kawasan berkenaan telah membuat gesaan kepada pihak JAS untuk mengambil tindakan terhadap kilang tersebut kerana tidak tahan lagi dengan penceraman udara yang berlaku.


113 views0 comments
bottom of page