Golongan guru dari kaum Orang Asli di sekitar negeri Perak digalakkan untuk mengajar di tempat masing-masing bagi meningkatkan lagi keberkesanan di dalam pembelajaran dan pengajaran (P&P) Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, ia juga turut menyokong usaha dan dasar yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Beliau berharap terdapat peningkatan bilangan guru Orang Asli yang berminat untuk kembali ke tempat masing-masing, terutamanya mereka yang sedang berkhidmat di luar bandar, kerana masih kurang terdedah dengan dunia luar.
"Guru-guru ini mempunyai latar belakang untuk mendekati murid-murid Asli yang bermasalah dengan lebih efektif, justeru saya harapkan ia dapat membantu mereka dalam meningkatkan kualiti keputusan peperiksaan mereka," katanya selepas merasmikan Majlis Kembara Jalinan Kasih anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di RPS Pos Kemar, Gerik baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr Zambry turut mengemukakan beberapa isu penambahbaikan sistem prasarana telekomunikasi di sekitar RPS Pos Kemar, yang disuarakan wakil penduduk, untuk tindakan pihak KKMM. Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak pula berkata, pihaknya akan melakukan penelitian terlebih dahulu dan cuba mengenalpasti beberapa langkah untuk memperbaikinya. "Kita sebolehnya ingin memastikan rakyat, tidak kira di dalam dan luar bandar, mempunyai akses kepada maklumat sahih dari pihak kerajaan, kerana ramai pada hari ini mengambil kesempatan menyalurkan info-info tidak berasas kepada masyarakat pendalaman. "Maka,dengan prasarana lengkap dan capaian jaringan maya, saya yakin kita akan dapat menerangkan dasar kerajaan negeri dan pusat dengan lebih telus," ujarnya. Salleh berkata, pihaknya akan mengambil kira aduan mengenai pencawang siaran radio di RPS Pos Kemar yang perlu ditambahbaik, penembusan jalur lebar dan capaian Wi-Fi lebih berkualiti.