IPOH - Program Satu Sekolah Satu Silat akan diumumkan 2 April ini oleh Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sebagai salah satu usaha untuk memperkenalkan seni pertahanan diri itu kepada pelajar. Presiden Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata, pihaknya yakin langkah itu akan dapat mempastikan seni persilatan tersebut terus subur di negara ini. Malah, kata beliau, ia juga selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September tahun lalu yang mengiktiraf silat sebagai seni mempertahankan diri rasmi negara. "Hari ini kita tengok silat telah mendapat tumpuan orang bukan Melayu sebagaimana kita (Melayu) meminati taekwondo dan karate," katanya ketika merasmikan program Pemimpin Turun Ke Gelanggang Silat Peringkat Negeri Perak di PORT, di sini pada Ahad malam.
Hadir sama Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Tan Sri Omardin dan Presiden PESAKA Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin. Ali berkata, sejajar dengan pengiktirafan kerajaan terhadap seni silat, lebih banyak universiti tempatan disaran menjadikan persilatan sebagai salah satu aktiviti ko-kurikulum mereka. Beliau memberitahu, setakat ini Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) telah berbuat demikian.
"Saya berharap lebih banyak universiti akan mengikuti jejak university-universiti ini kerana kebangkitan pesilat begitu ketara dan ia perlu ditonjolkan ke seluruh dunia," ujarnya. Dalam pada itu, Ali memberitahu, satu perhimpunan bagi persatuan silat seluruh negara akan diadakan di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada 14 Mei ini, yang dijangka dihadiri kira-kira 200,000 pesilat. Menurut beliau, pelbagai acara akan diadakan, termasuk persembahan pelbagai jenis silat serta pameran pakaian dan peralatan silat.
Beliau yakin, jumlah kehadiran itu dapat dicapai berdasarkan kepada bilangan pesilat di seluruh negara yang dikatakan mencecah empat juta orang.