BATU GAJAH - Penduduk perumahan dan pengusaha kilang sekitar Batu Gajah Perdana mendesak Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil tindakan terhadap sebuah kilang simen putih di kawasan itu yang didakwa melakukan pencemaran udara.
Rata-rata mereka sudah tidak tahan lagi kerana saban hari terpaksa menyedut debu tebal dari kilang simen itu, yang bukan sahaja mengganggu aktiviti seharian mereka, malah mengakibatkan kesihatan terjejas.
Menurut pengusaha kilang kotak, Edward Kok,49, debu tebal itu telah menyebabkan ramai pekerjanya terpaksa mengambil cuti sakit, malah ada yang terpaksa mengambil keputusan berhenti kerja kerana sudah tidak tahan dengan pencemaran itu sejak tiga tahun lalu.
“Sejak tiga tahun beroperasi, ramai sangat pekerja saya berhenti kerana tidak tahan dengan debu simen dari kilang sebelah ini.
“Saya pernah berbincang, sampaikan saya belikan mereka canvas untuk pasang di tepi kilang, tapi mereka buat tak tahu sahaja,” katanya ketika ditemui oleh Suara Perak pada Isnin. Edward mendakwa, walaupun banyak aduan telah dibuat kepada JAS sejak dua tahun lalu namun perkara itu masih terus berlaku.
Seorang penduduk perumahan yang ditemui, Hafiz Julen, 25, memberitahu, penduduk terpaksa mencuci rumah dan kereta hampir setiap hari ekoran debu dari kilang itu serta lori pengangkutannya yang lalu lalang.
“Lori mereka yang lalu lalang juga merupakan faktor yang membuatkan habuk habis rumah-rumah kami, kesian juga saya tengok budak-budak sekolah yang terpaksa pakai topeng muka kalau di luar.
“Saya cuma harapakan Jabatan Alam Sekitar mengambil tindakan yang sepatutnya, saya difahamkan mereka pernah datang buat pemeriksaan ke kilang itu, tapi itu sahaja lah tindakkannya,” ujarnya kecewa.
Suara Perak cuba menghubungi pihak JAS Perak sejak pagi hingga petang namun telah diberitahu kakitangan yang mengurus aduan tidak berada di pejabat.