top of page
muinsapidin

Mohon Tanah Untuk Rumah Kebajikan Islam

BATU GAJAH – Harapan Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua (Islam) Titian Abadi (Pekita), Ahmad Wan Chik, 54, untuk mendapatkan sebidang tanah bagi pembinaan rumah pertubuhan kebajikan berkenaan di Ara Payung, Batu Gajah, akhirnya mendapat perhatian kerajaan negeri.

Beliau yang menjaga 19 orang warga emas di rumah kebajikan berkenaan di alamat No. 34, Laluan KP 1/6 Taman Kinta Perdana, Lahat telah dikunjungi Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin yang juga Ahli Lembaga Pengarah PORT.

Pada kunjungan itu Ahmad telah menyerahkan surat pemohonan tanah seluas dua ekar di Ara Payong, Batu Gajah kepada Zainol.

“Saya harapkan kerajaan negeri meluluskan tanah ini untuk membina bangunan kekal bagi menjaga kebajikan seramai 19 orang warga emas yang diamanahkan oleh keluarga mereka kepada kami.

“Hajat dan doa saya semasa di Mekah untuk mendirikan sebuah bangunan semasa saya hidup ini dimakbulkan Tuhan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Zainol pada Isnin.

Menurut Ahmad, sebelum ini beliau telah menyewa sebuah rumah di Jelapang selama empat tahun tetapi terpaksa berpindah selepas tamat tempoh kontrak sewa rumah berkenaan.

Katanya, selepas itu beliau berjaya mendapatkan sebuah rumah sewa di Taman Kinta Perdana dan kini sudah tiga bulan beroperasi menjaga 19 orang warga emas.

Ahmad Wan Chik, 54

“Saya tidak mahu lagi berpindah randah dan amat berharap kerajaan dapat meluluskan permohonan sebidang tanah di Ara Payung bagi membolehkan kami mendirikan bangunan tetap,” katanya.

Ahmad berkata, rumah kebajikan orang-orang tua berkenaan kini dipantau sepenuhnya pihak Jabatan Kebajikan Masyarakt (JKM), termasuk kebersihan dan pengurusan makanan.

“Kami membelanjakan sekurang-kurangnya RM7,000 sebulan bagi menjaga semua warga emas di sini dan setakat ini, alhamdullilah kami juga mendapat bantuan dana daripada pelbagai pihak,” ujarnya.

Menurut beliau, sekiranya bangunan baru dapat didirikan di Ara Payung, ia dijangka mampu menampung sehingga 100 orang warga emas yang dihantar oleh keluarga mereka untuk penjagaan.

Sementara itu, Zainol berkata, beliau akan membantu memanjangkan permohonan persatuan itu untuk mendapatkan sebidang tanah di Ara Payung.

Pada kunjungan itu, beliau turut menyampaikan bantuan barangan keperluan rumah dan makanan kepada warga emas selain beramah mesra dan mengambil kesempatan makan tengah hari bersama mereka.


17 views0 comments
bottom of page