MERAPOH - Cuaca panas dan kering menyebabkan hutan tropika berdekatan Kompleks Gua Batu Kapur Merapoh, di sini terbakar sejak lima hari lalu.
Gua Jinjang Pelamin yang menjadi tumpuan pelancong asing antara teruk terjejas dan tiada sebarang usaha memadamkan kebakaran dilakukan memandangkan hampir keseluruhan kawasan itu dikelilingi api.
Tarikan pelancongan itu antara destinasi popular kerana di dalamnya terdapat khazanah bernilai iaitu stalaktit, stalagmit, serangga, burung, air terjun dan artifak zaman dinosaur yang masih dalam kajian ahli paleantologi.
Api yang marak dan asap tebal boleh dilihat dari arah jalan raya Central Spine Road (CSR) Kechau ke Gua Musang berdekatan Hentian Rawat dan Rehat Merapoh.
Difahamkan, kebakaran itu bermula sejak lima hari lalu yang pada awalnya bermula dengan api kecil dari sebuah kebun, berdekatan kaki gua terbabit.
Penduduk Merapoh, Fauzi Mustaffa, 50, berkata, penduduk setempat khususnya pengusaha pelancongan di situ terkejut melihat api semakin marak dan memusnahkan kawasan hutan di sekeliling Gua Jinjang Pelamin.
“Kebakaran itu mungkin bermula dari sebuah tanah milik persendirian di kaki kompleks gua batu kapur apabila pemiliknya membersihkan kawasan yang ditebang untuk projek pertanian.
“Barangkali pemilik berkenaan tidak sedar dan kecuaian itu menyebabkan api merebak sehingga memusnahkan keseluruhan bukit batu kapur yang menempatkan rangkaian gua berkenaan,” katanya.
Menurutnya, penduduk di situ termasuk anggota Pasukan Bomba Sukarela Merapoh tidak mampu memadamkan kebakaran itu kerana tidak cukup peralatan dan api marak dengan cepat ke kawasan lebih tinggi.
Sementara itu, rakannya, Othman Isa, 45, berkata, kebakaran Gua Jinjang Pelamin boleh membantutkan aktiviti ekstrem seperti memanjat dinding gua dan pengembaraan di persekitaran luarnya serta menyebabkan pencemaran anak sungai.
“Gua Jinjang Pelamin terkenal dalam kalangan pelancong asing untuk kegiatan ekstrem di luar mahupun di dalam kompleks gua.
“Ia juga jadi tumpuan untuk kaji khazanah flora dan fauna, serangga, burung dan artifak dinosaur yang dipercayai berusia antara 230 hingga 350 juta tahun,” katanya.
Menurutnya, pihak berkaitan diharap dapat segera memadamkan kebakaran itu kerana api merebak ke kawasan tinggi.
Katanya, tindakan pantas akan dapat mengelakkan kemusnahan lebih teruk berdekatan Kompleks Gua Batu Kapur Merapoh.