top of page
muinsapidin

Galak Anak Muda Imarah Masjid

BATU GAJAH - Ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang baru dilantik perlu menjadikan institusi itu sebagai pusat melaksanakan transformasi supaya umat Islam lebih menghayati kehidupan mengikut acuan Islam.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaipk), Datuk Mohd Yusop Husin berkata, fungsi masjid sebagai tempat solat harus diperluaskan dan dikembangkan dengan pelbagai aktiviti menarik bagi menggalakkan rumah ibadat itu sentiasa dikunjungi.

Mohd Yusop (dua, kiri) memotong riben sebagai simbolik pelancaran Sahabat Dakwah Batu Gajah

sempena Karnival Street Dakwah.

"Ahli jawatankuasa masjid perlu berusaha memastikan masjid bukan hanya boleh digunakan sebagai tempat bersolat sahaja.

“Gunakanlah dan perkasa fungsi masjid dalam usaha kita melahirkan ramai golongan belia yang berilmu dan kita harapkan mereka mampu mengangkat martabat Islam dengan mengajak golongan muda mengimarahkan masjid,” katanya selepas merasmikan Karnival Street Dakwah dan Pelancaran Sahabat Dakwah Batu Gajah di Masjid Toh Puan Besar Hatijah, di sini.

Mohd Yusop berkata, jawatankuasa masjid juga perlu mengubah sikap dan mentaliti dalam usaha memastikan peranan masjid sebenar dalam masyarakat Islam.

“Mereka perlu ambil sikap mendekati dan bukan sekadar terima sahaja tanpa memulakan langkah untuk memikirkan cara supaya lebih ramai lagi umat Islam hadir ke masjid.

“Sebab itu saya puji langkah yang diambil oleh pihak penganjur menerusi penganjuran program hari ini (semalam) yang dapat mengukuhkan lagi perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Katanya, ahli jawatankuasa juga perlu memberikan kefahaman yang tepat terhadap umat Islam, khususnya penggerak institusi masjid akan fungsi sebenar masjid terhadap individu dan masyarakat.

“Kefahaman yang harus ditanam kepada mereka iaitu fungsi masjid bukan sahaja terjurus kepada aspek ibadah semata-mata, tetapi juga turut merangkumi aspek-aspek kehidupan yang lain seperti kegiatan sosial dan ekonomi, bahkan bidang-bidang lain yang seiring dengan tuntutan dan perkembangan zaman masa kini.

“Pendek kata, institusi masjid harus menjadi ‘pusat sehenti’ umat Islam dalam segenap aspek kehidupan,” katanya. - Sinar Harian


26 views0 comments
bottom of page