top of page
muinsapidin

Chong Wei Mampu Rampas Semula Terbuka Malaysia

JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mampu merampas kembali gelaran perseorangan di Terbuka Malaysia yang kali terakhir dimilikinya pada 2014 apabila edisi baharu bermula 5-10 April ini.

Pemangku Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamed Al-Amin Abd Majid percaya juara 10 kali Terbuka Malaysia itu akan tampil dengan persembahan terbaiknya, bukan sahaja untuk merampas kembali gelaran tetapi juga mendapatkan kedudukan lebih baik dalam senarai pilihan di Sukan Olimpik nanti.

"Chong Wei telah menang 10 kali, sesuatu yang belum pernah dilakukan pemain lain...kelayakan Olimpik akan tamat pada akhir April ini, jadi amat penting baginya berada dalam ranking empat terbaik.

"Kedudukan itu akan memberi kelebihan dalam senarai pilihan di Rio (de Janeiro) nanti. Selama ini dia memberi penampilan hebat ketika bermain di laman sendiri dan saya harap ini dapat diteruskan," katanya selepas mengumumkan penajaan RM24 juta untuk tiga tahun oleh Celcom Axiata Bhd, di sini hari ini.

Chong Wei kini berada di ranking ketiga dunia di belakang juara dunia, Chen Long dan juara dua kali Olimpik, Lin Dan, kedua-duanya dari China.

Bekas pemain nombor satu dunia itu yang menjuarai Terbuka Malaysia buat kali pertama pada 2004 berjaya mengekalkannya tiga tahun berturut-turut sebelum Peter Gade dari Denmark muncul juara pada 2007.

Setahun selepas itu, Chong Wei merampas kembali kejuaraan pada 2008 dan mempertahankannya sehingga 2014 tetapi tidak dapat beraksi tahun lepas kerana penggantungan akibat kesalahan doping, sekali gus memberi ruang untuk Chen Long muncul juara.

Sementara itu, Mohamed Al-Amin turut mengucapkan tahniah kepada beregu campuran utama negara yang juga pasangan nombor 13 dunia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang muncul juara di Grand Prix Emas Terbuka New Zealand semalam.

"Ini adalah sebahagian program BAM untuk memastikan pasangan itu dapat layak ke Rio. Kami cuba membantu mereka berada dalam ranking kelapan agar diletakkan sebagai pilihan di Rio nanti dan tidak perlu berdepan beregu handalan di pusingan awal," katanya. - Bernama


3 views0 comments
bottom of page