KUALA LUMPUR: Berikutan insiden pengantin ditumbuk kerana wang hantaran tidak cukup, seorang wanita yang mendakwa saudara kepada pengantin perempuan tampil menjelaskan perkara sebenar.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Wanie Azwani menerusi laman Facebooknya, insiden pergaduhan di Masjid Jamek Al-Khadijiah, Pantai Dalam itu tercetus bukan disebabkan oleh wang hantaran tidak cukup, sebaliknya wakil pihak lelaki bersikap kurang ajar ketika perbincangan mengenai hal tersebut sedang dibuat.
“Tetapi pergaduhan berlaku kerana pihak pengantin lelaki yang bercakap dengan kurang ajar apabila pihak pengantin perempuan bertanyakan baki wang hantaran.
“Sudah menjadi satu tanggungjawab pihak perempuan meminta baki wang hantaran kerana sudah berjanji untuk bayar bakinya pada hari nikah. Kerana menurut Islam, berjanji itu hutang. Pergaduhan ini terjadi kerana pihak lelaki yang memulakan dengan bercakap kurang sopan dan cabar pihak perempuan.
“Saya harap kenyataan saya betul kerana nak menjaga maruah Yazid kerana Yazid di bawah kariah saya, Shahrul. Sepatutnya yang selesaikan kes ini, Rashid Janggut kerana dia dilantik sebagai jurucakap (orang tengah). Kalau dia bertindak dan pandai menyelesaikan masalah ini, saya rasa takkan jadi cerita ini. Terima kasih,” tulisnya yang melampirkan kenyataan Imam Masjid Khadijiah.
Sementara itu, akhbar Kosmo! hari ini melaporkan dalam kejadian kira-kira 3.15 petang kelmarin, pengantin lelaki itu ditumbuk selepas mahu beredar dari masjid tersebut kerana tidak dibenarkan meneruskan majlis akad nikah disebabkan wang hantaran berjumlah RM15,000 tidak mencukupi.
Menurut laporan akhbar itu lagi, pengantin lelaki yang berusia 27 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan dikata bercinta dengan tunangnya yang berusia 21 tahun sejak tiga tahun lalu.
Difahamkan, ekoran insiden tersebut, kedua-dua pihak telah membuat laporan polis di Balai Polis Pantai.