KUANTAN - Sebuah syarikat kontraktor pembinaan sebuah masjid di negeri ini antara yang dikesan mencuri air paip hingga menyebabkan Pengurusan Air Pahang (Paip) menanggung kerugian lebih RM300,000, tahun lalu.
Kegiatan haram itu turut dilakukan individu di kawasan kampung dan penempatan setinggan yang menggunakan pelbagai teknik penyambungan secara haram.
Pegawai Perhubungan Awam Paip, Nurul Farhana Abdul Hamid berkata, kegiatan itu dikesan selepas beberapa pemeriksaan dilakukan kakitangan Paip.
Menurutnya, hasil pemeriksaan juga mendapati, penternak ayam daging komersial turut mencuri air bagi mengurangkan bayaran bil bulanan.
“Tahun lalu, sebanyak 1,038 kes membabitkan aktiviti curi air dilakukan sektor komersial dan 1,975 kes pengguna domestik,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.
Beliau berkata, daerah ini merekodkan kes tertinggi dengan 625 kes diikuti Temerloh (240 kes), Bera (77 kes) dan Maran (43 kes).
Kes disiasat mengikut Seksyen 123(1) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga satu tahun atau kedua-duanya sekali.
Nurul Farhana berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan tidak akan bertolak ansur terhadap aktiviti mencuri air kerana perbuatan berkenaan menyebabkan kerugian besar.
Menurutnya, Paip serius dengan setiap aduan dan pihaknya turut memeriksa tapak pembinaan, kilang, pusat ternakan ayam dan rumah kongsi.
Aduan boleh disalurkan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (Pulapel) di talian 5739999 atau menerusi laman sosial Facebook Paip, Pengurusan Air Pahang Berhad Paip.
Beliau berkata, Paip memberi jaminan, semua maklumat akan dirahsiakan. - Sinar Harian