IPOH - Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) perlu mempelbagaikan strategi dakwah dengan menggunakan teknologi baru bagi mendekati generasi baru yang mesra komputer.
Isteri Menteri Besar, Datin Seti Saripah Zulkifli berkata, usaha itu perlu untuk memantau dan menentang usaha musuh Islam mempengaruhi minda anak muda dengan fahaman baru.
Menurut beliau, pertubuhan itu juga perlu melakukan kerja dakwah dan kebajikan semaksima mungkin samada di bahagian atau cawangan.
"Golongan seperti fakir miskin, ibu tunggal, anak yatim, Orang Asli dan saudara baru mestilah menjadi sasaran untuk mencapai matlamat PERKIM," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita PERKIM Bahagian Ke-36 di Dewan Kediaman Rasmi Menteri Besar, di sini pada Ahad.
Hadir sama Pengerusi PERKIM Bahagian Negeri Perak, Datuk Abu Bakar Shaari dan Ketua Wanita PERKIM Bahagian Negeri Perak, Alauyah Abdullah.
Dalam pada itu, Saripah turut menyarankan agar ahli PERKIM memperbanyakkan lagi aktiviti untuk menghebahkan lebih banyak maklumat dan dakwah kepada masyarakat.
"Semua sedia maklum dengan objektif PERKIM adalah melalui dakwah, pendidikan, kebajikan dan kerjasama dalam bidang agama Islam.
" Diharapkan kita dapat bekerjasama dengan lebih lagi selepas ini, mungkin kita gabungkan aktiviti PERKIM bersama Lembaga Kebajikan Perempuan Islam Malaysia Perak dan juga BAIDURI, siapa tahu ia akan mewujudkan satu kerjasama yang baik di kemudian hari," ujarnya.
Saripah berkata, peranan PERKIM dalam mengembangkan agama Islam kepada kalangan bukan Melayu, khususnya bangsa Cina, India dan Orang Asli, bukannya baru.
Malah, kata beliau, mereka boleh berbangga kerana telah bertahan lama, sejak ditubuhkan tahun 1960 oleh Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.
Sehingga Disember tahun lalu, PERKIM Perak mempunyai 21 cawangan di seluruh negeri iaitu di Parit Buntar, Ipoh, Batu Kurau, Taiping, Sg. Siput (U), Batu Gajah, Manjung, Lenggong, Selama, Tambun.
Kg. Kepayang, Mukim Sg. Raia, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Tanjung Malim, Bagan Serai, Teluk Intan, Bukit Gantang, Beruas, Kampar dan Parit.