KAMPAR: Seorang lelaki maut dalam kemalangan yang melibatkan dua kenderaan di Kilometer 29.5 Jalan Ipoh-Kuala Lumpur pada awal pagi Ahad. Dalam kejadian sekitar 04.30 pagi itu, mangsa,Azhar Mohd Yunus,46 yang pada waktu kejadian memandu lori muatan roti maut serta merta di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kampar, Superitendan Ng Kong Soon berkata kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan lori Hino dan sebuah Toyota Hilux. "Kejadian berlaku apabila sebuah Hilux dari arah Ipoh ke Tanjung Tualang berhenti di lampu isyarat merah. "Sejurus selepas itu,sebuah lori hilang kawalan lalu datang merempuh bahagian belakang sebelah kiri kenderaan berkenaan. "Akibat rempuhan kuat itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian,"katanya kepada pemberita pada Ahad. Jelasnya, pemandu Hilux berkenaan tidak mengalami sebarang kecederaan. Ng berkata siasatan lanjut mendapati kejadian berlaku di simpang tiga lampu isyarat dan ianya berlaku pada waktu malam dan cuaca yang baik. "Bedah siasat akan dijalankan pada 10 pagi Ahad dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,"ujarnya.