top of page
muinsapidin

Minum Air Ikut Keperluan Badan

PENGAMBILAN air yang mencukupi secara konsisten akan membekalkan sumber mineral terpenting dalam keseimbangan tubuh. Air amat penting dan mempunyai pelbagai fungsi dalam menjana tubuh badan yang sihat dan cergas.

Malah dalam keadaan cuaca sekarang yang terlampau panas, harus diingat kekurangan air dalam badan boleh menyebabkan dehidrasi dan kesan sampingan lain yang akan memudaratkan diri.

Ada pendapat yang mengatakan lapan gelas air sehari adalah mencukupi tetapi adakah ia benar? Sebenarnya harus diingat pengambilan air yang sepatutnya adalah satu liter untuk setiap 25 kilogram.

Contohnya jika berat badan anda adalah 50 kilogram maka pengambilan air adalah dua liter sehari.

Buat pengetahuan ramai, bukan setakat air kosong sahaja yang boleh diambil untuk memastikan badan sentiasa berada dalam keadaan segar tetapi jus buah-buahan tanpa gula, minuman green tea, air barli dan air kelapa juga sangat digalakkan.

Ini kerana khasiat daripada beberapa jenis minuman ini akan membantu menyejukkan badan dan seterusnya memberi kesegaran dalam keadaan cuaca yang panas.

Bagaimanapun, air laici kang juga boleh diminum sebagai pengganti minuman lain namun campuran laici tidak digalakkan kerana laici sebenarnya berunsur panas. Jadi sebaik-baiknya tidak mencampurkan buah laici.

Bahan-bahan lain seperti agar-agar, barli, kurma merah, cincau atau cendol boleh dijadikan bahan campuran dalam minuman laici kang kerana semuanya boleh membantu menyejukkan badan juga.

Bagi yang inginkan kelainan, minuman prebiotik juga digalakkan kerana ia mengandungi bakteria baik bagi pencernaan usus dan digalakkan bagi golongan dewasa dan kanak-kanak.

Selain pengambilan air putih secukupnya dan minuman sampingan lain, corak pemakanan juga harus dititikberatkan. Sebaik-baiknya tingkatkan pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran sebab kedua-duanya mengandungi serat dan air.

Siti Nurhayati Ali, Pakar Pemakanan Darul Ehsan Medical Centre (DEMC)

- Sinar Harian


28 views0 comments
bottom of page