top of page
muinsapidin

Melayu Perlu Bersatu, Jangan Berpuak-Puak

Tokoh Veteran UMNO Perak, Datuk Yahaya Shafie, 82, meminta ahli UMNO bersatu dan tidak berpuak-puak bagi menjamin survival orang Melayu.

Beliau bimbang nasib dan masa depan orang Melayu sekiranya UMNO / Barisan Nasional (BN) kalah dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Menurut beliau, kuasa majoriti orang Melayu sekarang adalah disebabkan kekuatan UMNO dan orang Melayu perlu bersatu untuk terus mempertahankan keutuhan parti itu.

YAHYA Shafie (duduk, dua dari kiri) pada program Bengkel Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Perak School of Politics di Bangunan UMNO Perak, Ipoh pada Ahad.

``Yang pentingnya orang Melayu harus bersatu, jangan berpuak-puak kerana dibimbangi kalau BN kalah, orang Melayu mahu pergi ke mana dan adakah anda pasti orang Melayu akan survive, saya rasa tidak mungkinpun dan ini adalah fakta.

``Oleh itu kalau BN sudah menang jagalah dan pastikan BN terus beroleh kemenangan dalam pilihan raya umum akan datang," katanya kepada pemberita di Bengkel Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV) Perak School of Politics di Bangunan UMNO Perak, Ipoh pada Ahad.

Beliau ditanya tindakan segelintir bekas tokoh dan pemimpin UMNO ketika ini yang sering bertindak bukan sahaja mengkritik kerajaan dan pemimpin parti malah meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tunh Razak meletakkan jawatan.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Tambun menyambut baik bengkel seperti itu yang dianjurkan Pemuda UMNO Perak kerana mendedahkan kepada 30 orang peserta mengenai pemahaman falsafah politik serta dasar kerajaan BN.

``Pemimpin Pemuda UMNO hari ini perlu bergerak aktif, menarik seramai mungkin golongan anak muda untuk menyertai UMNO dan mengadakan bengkel seperti ini bagi mendedahkan mereka kepada pemahaman falsafah politik,’’ katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda UMNO Perak, Hairul Anwar Mohamed Noor pula berkata, BNYV telah bergerak aktif menjalankan kesukarelawan berteraskan gerak kerja jentera politik dan pemerkasaan belia sejak 2012.

``Meneruskan iltizam dan prinsip yang sama, kini BNYV membawa satu platform baru bernama School of Politics yang akan menyediakan bengkel pemahaman falsafah politik, kajian komparatif dan sumbangan politik melalui beberapa modul yang padat dan efektif kepada anak muda,’’ ujarnya.

Menurutnya, Perak merupakan negeri pertama daripada sembilan negeri di Semenanjung Malaysia yang memulakan bengkel itu.


17 views0 comments
bottom of page