BOTA - Program tiga hari Ziarah Karyawan yang menghimpunkan tokoh-tokoh karyawan ternama tanah air di Pulau Misa, Kampung Kepayang, Bota bermula Jumaat sehingga Ahad ini dapat membantu melahirkan ramai penulis muda.
Program itu yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat ADUN Bota bersama Persatuan Seni dan Karyawan Perak Tengah juga mampu melahirkan pelapis penyair muda.
Menurut seorang tokoh karyawan terkanal negara, Yassin Salleh, program tersebut dianggap penting kerana ia memberi suntikan semangat kepada golongan muda untuk terus berkarya dan menghasilkan sajak serta buku.
``Saya percaya program sebegini akan memberikan mereka lonjakan dan semangat baru untuk terus berkarya dan menghasilkan buku-buku yang berkualiti.
``Melalui pentas Ziarah Karyawan ini juga, kita mahu melahirkan penyair-penyair yang peka yang sedar bahawa kita adalah satu bangsa kita ada satu budaya yang harus dipertahankan,’’ katanya kepada media.
Yassin yang pernah menghasilkan filem `Potret Maria’ dan `Dia Ibuku’ berkata, beliau mensasarkan 45 tajuk buku bakal dihasilkan oleh penulis muda yang menyertai program tersebut.
Sementara itu, ADUN Bota, Datuk Nasarudin Hashim pula percaya program berkenaan akan membolehkan golongan penulis muda menyumbang kepada pembangunan negara dan pembangunan masyarakat.
``Saya percaya kumpulan penulis muda mempunyai idea baru dan mereka juga boleh menyumbangkan kepada pembangunan negara dan masyarakat kerana hari ini budaya songsang banyak berlaku dalam masyarakat kita.
``Sebagai contoh, budaya tidak bekerjasama, tidak menghormati orang tua dan tidak bersopan santun itu pada saya budaya yang bercanggah dengan budaya Melayu kita,’’ ujarnya.
Menurut Nasarudin, ziarah karyawan itu juga dapat menghidupkan suasana kesepakatan dan keakraban dalam kalangan karyawan selain berpeluang menikmati suasana semula jadi Sungai Perak kerana di sinilah wujudnya Kesultanan Melayu Perak di Bota.
Program Ziarah Karyawan Bota, Perak akan dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi petang Sabtu.