top of page
muinsapidin

Peniaga Gerai Dihantui Kematian Pelanggan Akibat Keracunan Kimia

BATU GAJAH: Kemarian pelanggannya Hawa Buyong akibat karbamat, sejenis racun makhluk perosak, benar-benar menghantui pengusaha gerai di Siputeh dekat sini.

Jamaludin Saaid, 63, sangat sedih selepas mengetahui kematian wanita itu, yang dipercayai mengambil makananan di gerainya, Rabu lalu.

Hawa sebelum ini koma setelah mengambil makanan yang dicemari racun itu awal Mac lalu.

“Dia pelanggan setia kami sejak tiga tahun lalu dan sudah akrab dengan isteri saya,” kata Jamaludin seperti dilaporkan akhbar Malay Mail hari ini.

“Sungguh menyayat hati dan saya hanya mampu mengucapkan takziah dan berdoa buat keluarganya.”

Hawa, 47, mengalami kerosakan otak akibat kekurangan oksigen setelah termakan racun tersebut.

Jabatan Kesihatan Perak dilaporkan berkata Hawa meninggal dunia kira-kira pukul 11.25 malam Rabu di unit rawatan rapi Hospital Raja Permaisuri Bainun di Ipoh.

“Allahyarham merupakan mangsa terakhir yang masih menerima rawatan di hospital,” kata pengarahnya Datuk Dr Juwita Ghazali kepada Bernama.

Pada 4 Mac lepas, lapor agensi berita itu, kira-kira 102 orang menjalani pemeriksaan di beberapa hospital di Ipoh dan Batu Gajah selepas mengalami keracunan makanan di gerai itu.

Jamaluddin berkata mereka hanya ingin menjual makanan yang baik dan mencari rezeki. “Kami tidak berniat memudaratkan sesiapa,” katanya semalam.

Gerainya, yang dulu sering dikunjungi pelanggan, kini diarah tutup sehingga piawaian kesihatan dan keselamatan makanan yang ditetapkan kementerian dipatuhi.

Jamaludin bagaimanapun tidak berniat meneruskan lagi perniagaannya yang diusahakan sejak 26 tahun lalu walaupun ia menjadi sumber rezekinya.

“Saya orang pertama yang menjamah makanan saya. Jika saya tidak sengaja termasuk karbamat ketika memasak, saya tentunya orang pertama yang jatuh sakit,” katanya lagi.

Tambahnya, hanya nasi lemak, kuetiau goreng dan bihun goreng dimasak di gerainya itu, sementara hidangan lain disediakan di rumah.

Dakwanya, dia tidak menyimpan sebarang racun makhluk perosak di rumahnya kerana dia tidak memerlukannya.

Jabatan Kimia Perak yang menguji contoh makanan di gerainya, selepas kejadian, mendapati karbamat berada di dalam sambalnya yang digunakan untuk menyediakan nasi lemak, kuetiau, kuih bom dan cucur badak.

Ujian selanjutnya mendapati kesan-kesan bahan kimia itu pada pisau, papan pemotong, senduk dan pinggan.

Jamaluddin juga menolak kemungkinan ada orang menceroboh gerainya dan mencemari makanan dengan racun itu kerana tiada tanda-tanda ia dipecah masuk.

“Tidak juga terdapat kilang memproses bahan kimia berdekatan gerai saya. Terus terang, saya bingung. Kejadian ini macam misteri yang tragis,” katanya.


4 views0 comments
bottom of page