top of page
muinsapidin

Info Palsu: SKMM, Polis Siasat Sivarasa

CYBERJAYA - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap Ahli Parlimen Subang R. Sivarasa, kerana disyaki memuat naik dan berkongsi kandungan palsu di laman Facebook.

Menurut SKMM, berdasarkan aduan yang diterima, Sivarasa dikatakan telah berkongsi dalam laman Facebook milik beliau, muka depan majalah TIME yang diubah suai dengan menampilkan gambar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kapsyen 'No.2 Dalam Senarai Rasuah' sedangkan majalah tersebut tidak pernah menerbit kulit muka depan sedemikian.

Menurut SKMM, rakaman percakapan Sivarasa telah diambil di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur semalam (25 Mac).

"Telefon bimbit dan kad sim milik beliau juga diperiksa dan menjalani proses analisis forensik," kata SKMM dalam kenyataannya yang dimuat naik di laman Facebook suruhanjaya itu hari ini.

Menurut SKMM, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau hukuman penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali.

Denda sebanyak RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan turut boleh dikenakan.

SKMM berkata, suruhanjaya itu memandang serius penyalahgunaan media sosial dan perkhidmatan komunikasi dan akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan lunas undang-undang seperti di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, tanpa mengira kedudukan atau status mana-mana individu sekalipun.

"SKMM ingin mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi, menyebar, memuat naik, mahupun mempercayai sebarang bentuk kandungan yang belum ditentukan kesahihannya," katanya. - Bernama


14 views0 comments
bottom of page